Sunday, February 1, 2009

Silat Cekak Dilahirkan

Didorong oleh kepercayan dan keyakinan Hanafi sebagai pengerusi seksi silat perkumpulan itu telah melantik Yahya Said menjadi guru untuk mengajar ahli-ahli yang berminat melalui satu surat perlantikan yang bertarikh 1hb Januari 1966.

Pada 5 Ramadhan 1385 bersamaan 28hb Disember 1965 atas daya usaha Hanafi sendiri silat ini telah dilahirkan ke alam nyata di rumah Shafie Darus, Batu 4¾ Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah. Seramai 20 orang penuntut baru telah diijazahkan untuk mempelajari silat ini dan Yahya telah mengajar bersungguh-sungguh.

Setelah beberapa malam kegiatan silat itu dijalankan Yahya sendiri telah menamakan silat sebagai Silat Cekak dan dengan terus terang membongkar kembali sejarah dan asal usul Silat Cekak yang dimilikinya selama 40 tahun itu.

Menurut sejarah silat ini berasal dari Kedah, pernah digunakan oleh panglima-panglima kanan kerajaan negeri Kedah, untuk menghadapi pencerobohan dari luar, di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Adalah dipercayai panglima kanan kerajaan Kedah benama Panglima Ismail pernah berjaya menewaskan seorang batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kerian, Perak yang di masa itu di bawah pemerintahan kerajaan Kedah telah menurunkan ilmunya ini kepada Tok Rashid.

Tok Rashid yang berasal dari Sungei Daun, Kedah, bersama-sama isterinya telah meninggalkan kampung halamannya kerana diserang wabak taun menuju ke Kerian lebih 60 tahun lalu. Kemudian beliau mewariskan pula Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau,Taiping,Perak, supaya menyerahkan kembali kepada orang Kedah apabila tiba masanya kelak.

Panglima Tok Rashid ada mewasiatkan kepada Yahya Said, “Jika ada anak cucuku di Kedah yang hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali.”

Kata-kata ini juga dilafazkan sendiri oleh Yahya Said di hadapan Hanafi dan penuntut yang hadir. Dengan pengijazahan itu maka tamatlah tugas Yahya Said sebagai pemegang amanah silat tersebut. Setelah mengajar dalam tempoh masa yang singkat pelajaran silat tersebut dapat ditamatkan. Ini membuatkan Yahya Said berkeyakinan Hanafilah orang yang dicarinya selama ini untuk mengembalikan pusaka bangsa yang telah terpendam lama itu. Keyakinan ini berdasarkan atas usaha Hanafilah Silat Cekak ini dapat dilahirkan kembali.

Sungguhpun secara keseluruhannya semua penuntut-penuntut telah tamat belajar tetapi mereka belum dapat mempraktikkan pelajaran yang dipelajarinya, dengan cekap kecuali Hanafi. Ini kerana disebabkan cara penyampaian Yahya tidak mudah difahami. Hanafi telah membuktikan kebolehannya mengajar penuntut-penuntut itu kembali sehingga tamat dan mempraktikannya. Berdasarkan bukti inilah Yahya membuat kesimpulan Hanafilah orang yang paling layak menerima pusaka Tok Rashid.

Untuk menyakinkan silat ini bermutu tinggi, Hanafi telah mencuba silat ini dengan silat-silat yang pernah dipelajarinya dahulu, seperti Gayong Petani, Sendeng, Kuntau Jawa, Terlak, Kuntau Siam dan lain-lain lagi. Buktinya Silat Cekak dapat mengalahkan silat-silat itu.

No comments:

Post a Comment