Tuesday, February 3, 2009

Tentangan Kalimah Dalam Konvensyen Guru-Guru Silat Melayu

Tentangan seterusnya yang tidak kurang juga hebatnya melalui konvensyen guru-guru silat Melayu yang dianjurkan oleh Pertubuhan Silat Lincah pada 2hb Mac 1975 yag telah diadakan di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baharu di mana Silat Cekak, Silat Kalimah dan beberapa persatuan silat lain telah diundang.

Kehadiran Silat Kalimah dipersidangan tersebut telah menyebabkan Hanafi membuat persiapan yang rapi bagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Hanafi melalui Jabatan Penerangan PSSCM telah dapat menghasilkan suatu rencana yang bertajuk “Asal Usul Silat Cekak” dimana kandungannya lebih menitikberatkan persoalan kedudukan Silat Cekak dan Silat Kalimah.

Segala bukti-bukti yang lengkap berdasarkan kenyataan yang diberikan telah dilampirkan bersama dimana rencana tersebut membawa kesimpulan bahawa Silat Kalimah adalah berasal dari Silat Cekak.

Hanafi juga telah menjemput Shafie Darus dan Mat Tarzan yang berada di Kedah supaya turut sama hadir di persidangan itu untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan Silat Cekak yang sebenarnya.

Kehadiran Shapie ialah untuk memberi penjelasan bahawa Silat Cekak telah dilahirkan di rumahnya, manakala Mat Tarzan pula untuk membuktikan bahawa Azmi dan Redwan pernah belajar Silat Cekak di Sungai Petani dari Hanafi.

Apabila persidangan diadakan apa yang dijangka oleh Hanafi telah berlaku, Redwan dan Yahya Said telah menimbulkan kembali bahawa Silat Cekak diceduk dari Silat Kalimah Yahya Said telah dijadikan bukti utama.

Dengan serta-merta rencana yang telah sedia ada disebarkan kepada para hadirin, lantas Hanafi dengan suara lantang menjelaskan kedudukan sebenar dengan mengemukakan saksi-saksi yang dibawanya.

Keadaan bertambah tegang lagi kerana terdapat beberapa persatuan silat telah memberi sokongan kepada Silat Kalimah. Walau bagaimanapun Hanafi telah mengemukakan bukti yang cukup lengkap.

Sebagai acara kemuncak konvensyen ini suatu majlis pertunjukkan telah diadakan di Stadium Negara pada sebelah malamnya.

Di pertunjukkan inilah pertama kali Hanafi mengistiharkan SILAT CEKAK SILAT PAPAN SEKEPING melalui kain rentang yang dibawa bersama oleh peserta, dan pertunjukan silat di atas papan sekeping.

Tujuan Hanafi berbuat demikian itu adalah untuk menyatakan kepada umum bahawa Silat Cekak adalah silat yang benar-benar asli dan Silat Cekaklah yang lebih dahulu mengutarakannya, bukan Silat Kalimah.

Juga bertujuan untuk menyangkal dakwaan silat-silat lain umpamanya sebuah persatuan silat yang di Sabak Bernam,Selangor, yang telah mengaku mengajar Silat Cekak yang sama dengan Silat Hanafi, pada hal silat yang dibawanya adalah Silat Gayong Petani kerana mempunyai langkah melangkah, tari menari, gong gendang dan tidak boleh digunakan di tempat sempit.

Begitu juga dengan Silat Lapan Penjuru yang mendakwa Silat Cekak diasaskan oleh Silat Lapan Penjuru. Ini merupakan suatu kejayaan yang besar kepada perjuangan Silat Cekak.

Berdasarkan kepada pemerhatian, Hanafi telah membuat kesimpulan bahawa kegiatan untuk menjatuhkannya dan Silat Cekak itu telah diusahakan bersama oleh Silat Kalimah dan Silat Lincah.

Persidangan itu telah digunakan oleh Silat Lincah untuk membalas dendam atas sebab permusuhan yang hampir-hampir melibatkan pergaduhan dengan menjadikan Silat Kalimah untuk menghancurkan Silat Cekak.

Bukti yang jelas ialah berdasarkan kepada bentuk persediaan-persediaan tersebut dan didapati hubungan Kalimah dan Lincah di ketika itu sangat baik. Di akhir perlaksanaan tersebut ternyata mereka telah mengalami kegagalan.

Tindak-tanduk Silat Kalimah ini tidak mendatangkan kesulitan yang besar kepada perkembangan Silat Cekak di pusat pengajian tinggi.

Bagi mewujudkan kepercayaan mahasiswa sepenuhnya terhadap kebenaran Silat Cekak, pernah terjadi suatu pertarungan secara persahabatan antara penuntut Silat Cekak dan Silat Kalimah di Universiti Malaya pada 7hb September 1974 jam 11 pagi bertempat di bilik Pusat Bahasa, Universiti Malaya. Md. Nasir bin Md. Arshad penuntut tahun tiga (murid Hanafi) telah bertarung secara persahabatan dengan Rosli bin Ariffin juga penuntut tahun tiga (murid Yahya Said) untuk membuktikan kebenaran masing-masing.

Di akhir pertarungan itu penuntut Silat Cekak telah berjaya menundukkan penuntut Silat Kalimah. Peristiwa itu telah membuktikan akan kebenaran Silat Cekak.

Mohd. Nasir bin Mohd. Arshad, ketika ditemui berkata,

“Sungguhpun terdapat beberapa persamaan dari segi kaedah di dalam kedua-dua silat itu, tetapi oleh kerana kebenaran kebenaran silat Cekak itulah maka saya dapat mengatasi lawan. Kejayaan saya ini menmabhakan lagi keyakinan saya bahawa Hanafi adalah seorang yang berada di pihak yang benar.“

Dari segala sudut, Azmi dan rakan-rakannya gagal menandingi kebolehan Hanafi di dalam memperjuangkan matlamat masing-masing. Kalimah lahir adalah berpunca dari hasrat dengki kerana melihat kejayaan Hanafi; Kalimah tidak mempunyai matlamat perjuangan yang tulin, matlamat mereka hanyalah semata-mata untuk menyekat segala kegiatan Silat Cekak dari terus berkembang.

Tindakan-tindakan Hanafi terhadap Silat Kalimah hanya atas tujuan untuk mempertahankan diri dan juga untuk menghilangkan kekeliruan orang ramai sahaja dan tidak ada niat untuk menghlang Kalimah untuk maju. Wujudnya Silat Kalimah sedikit pun tidak menjadi kekhuatiran kepada Hanafi, tetapi sikap Kalimah yang cuba menentang pergerakan Silat Cekak adalah dianggap sangat merbahaya.

Sejak tahun 1976, Silat Kalimah telah mengalami zaman kehancuran. Dari sumber-sumber yang boleh dipercayai terdapat perpecahan di kalnagn mereka kerana masing-masing ingin merebut kuasa. Yahya Said telah menubuhkan Gabongan Kalimah dan Azmi serta Redwan Long telah menubuhkan Sialt Kalimah. Ini jelas di dalam pertunjukan silat hari terbuka Universiti Sains Malaysia, pada 23hb Januaari 1977.

PSSCM dapat menstabilkan kedudukannya dari masa ke masa. Sebenarnya penentangan Silat Kalimah ini telah membawa orang ramai ingin mengetahui secara dekat mengenai Silat Cekak. Secara tidak langsung nama Silat telah diketahui umum.

Kesimpulannya tentangan yang dihadapi oleh Hanafi dalam usaha mengembangkan Silat Cekak selama ini adalah dari dua segi. Pertama tentangan dari anak murid untuk menjatuhkan maruah Hanafi dengan tujuan untuk menghilangkan kepercayaan dan pengaruh penuntut silat terhadap Hanafi; Kedua tentangan dasar dan polisi Hanafi di dalam mengembangkan Silat Cekak oleh Silat Kalimah.

Walau bagaimanapun kedua-dua tentangan tersebut dapat diatasi oleh Hanafi melalui kebijaksanaannya.

3 comments: