Friday, January 30, 2009

Pengalaman Bergiat Dibidang Politik

Cara jual ubat yang dilakukan selama ini untuk menyedarkan rakyat tidak memadai, kerana cara ini tidak berorganisasi dan sebilangan kecil sahaja yang dapat disedarkan. Perjuangan secara peribadi ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya. Atas dasar untuk memperjuangkan hak bangsa Melayu, Hanafi telah mengubah cara perjuangannya dengan memasuki parti politik. Hanafi telah memilih Parti Seberkas Kedah dan menganggotainya pada tahun 1946.

Pemilihan ini dilakukan kerana didapati matlamat dan tujuan perjuangan parti ini sesuai dengan jiwanya untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu, khasnya golongan petani-petani dan kaum buruh. Parti ini juga berdasarkan sosialis, yang mana sesuai dengan jiwa Hanafi. Seberkas merupakan parti yang radikal di Kedah ketika itu.

Turut sama menganggotai parti Seberkas diketika itu ialah seperti Senu Abdul Rahman, Khir Johari, Mashur Muhamad, Muhammad Khir Awang Jaafar, Johari Taib, Cikgu Balkis Haji Abdullah, Dr. Ummar, Ahmad Jamil dan lain-lain lagi.
Justify Full
Kebolehan dan pengalaman Hanafi disamping mempunyai idea-idea yng luas mengenai ‘kebangsaan’, telah membolehkan Hanafi berperanan sebagai pensyarah bagi pihak Seberkas. Hanafi telah bertugas untuk menyatakan hasrat perjuangan Seberkas yang mana berjuang untuk memulihkan hak-hak orang Melayu. Setiap ucapan yang diberikan umpamanya di Sungai Korok, Chang Hilir, Kubang Pasu, Air Hitam, Teluk Kecai dan di Derga, Kedah, telah mendapat sambutan yang hangat. Tanpa memikirkan masalah peribadi dan kesusahan, Hanafi berucap dengan penuh semangat.

Setelah berkecimpung lama dengan parti ini, Hanafi mendapati bentuk perjuangan Seberkas tidak begitu jelas. Hanafi mendapati Seberkas berjuang untuk memperbaiki keadaan nasib orang-orang Melayu. Tetapi masalah rupa bangsa Tanah Melayu tidak begitu jelas. Semasa mengadakan mesyuarat di Tanjung Bunga, Pualu Pinang pada 1956 sempena menyambut kepulangan Senu Abdul Rahman dari Amerika dan Dr. Ummar dari England, Hanafi telah menjelaskan perkara rupa bangsa negara ini.

Didalam persidangan itu Hanafi berkehendakkan rupa bangsa di Tanah Melayu ini mestilah rupa bangsa Melayu (nationality) dengan alasan bahawa negeri ini, negeri Melayu, Raja-Raja Melayu, maka rakyat negeri ini juga mestilah rakyat Melayu sahaja. Tetapi pandangannya tidak mendapat sambutan dari ahli-ahli Seberkas yang lain.

Ahli-ahli Seberkas yang lain kurang memahami fikiran Hanafi yang jauh kehadapan dalam mendaulatkan kembali bangsa Melayu, sungguhpun perkara ini telah dijelaskan oleh Hanafi. Mungkin kerana kurang jelas dalam soal rupa bangsa ini, akhirnya perkara ini telah ditolak oleh seberkas dari dibincangkan dalam persidangan itu dan mereka telah menetapkan rupa bangsa Malaysian.

Oleh kerana Hanafi mendapati Seberkas telah menetapkan rupa bangsa Malaysian ia telah bertindak keluar dari parti tersebut pada tahun 1956 untuk berjuang bersama-sama parti lain yang sealiran dengan jiwanya.

Setelah menganalisa perjuangan setiap parti-parti politik yang ada di Tanah Melayu ketika itu, Hanafi telah mengambil keputusan untuk menganggotai Parti Negara dibawah pimpinan Datok Onn Bin Jaafar, pada tahun 1959 kerana Parti Negara menegaskan rupa bangsa Tanah Melayu iaitu rupa bangsa Melayu. Hanafi ingin meneruskan perjuangannya didalam politik ketika itu kerana mahu membela dan mendaulatkan kebangsaan Melayu bukan Malayan atau Malaysian seperti sekarang ini, walaupun Hanafi sedar dengan memasuki Parti Negara, tidak akan mendapat sambutan, tetapi ia mahu melahirkan kebenaran.

Bagi Hanafi, Datuk Onn merupakan seorang yang bijak berpolitik, berpengalaman, berjuang semata-semata untuk kepentingan bangsa Melayu tanpa mementingkan kepentingan peribadi. Dengan ini Hanafi terus berjuang bersama-sama Datuk Onn, membantu pilihan raya Datuk Onn (umpamanya membantu kempen pilihan raya Datuk Onn di Kuala Trengganu pada tahun 1959) Hanafi berkawan baik dengan Datuk Onn dan pernah setidur dan semakan dengannya, walaupun pada mulanya, sebelum menganggotai Parti Negara, Hanafi menyangka juga Datuk Onn tali barut Inggeris (seperti juga kebanyakan orang di ketika itu) dan tidak mahu mendapatkan kemerdekaan secepat mungkin.

Hanafi sesuai dengan Datuk Onn kerana polisi politik yang dijalankan oleh Datuk Onn iaitu secara evolusi atau secara berpelembagaan. Polisi yang dilakukan, pada mulanya menyatukan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu dengan menubuhkan UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu pada 11hb Mei 1946, untuk menentang Malayan Union. Usaha ini berjaya. Seterusnya pula menyatukan seluruh rakyat Negeri Tanah Melayu ini untuk mencapai kemerdekaan.

Datuk Onn sedar selagi perpaduan ini tidak dapat dilakukan, negeri ini tidak boleh merdeka. Dengan ini, Datuk Onn mahu membuka pintu UMNO kepada bangsa-bangsa lain yang telah menjadi rakyat negeri ini untuk menjadi ahli UMNO supaya sama-sama berjuang, berpolitik, didalam satu sahaja pertubuhan iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Secara tidak langsung, secara automatik, mereka tidak menjadi satu kebangsaan Melayu sahaja dan tidak ada semangat kebangsaan yang lain dan dengan ini bolehlah sama-sama menuntut kemerdekaan. Polisi ini gagal, kerana ditentang oleh UMNO sendiri kerana mereka tidak memahami perjuangan Datuk Onn, hingga akhirnya Datuk Onn terpaksa keluar daripada UMNO dan pimpinan UMNO digantikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Mengikut Hanafi jika polisi ini diterima olek UMNO, kemerdekaan yang dituntut itu hanya dengan dua suara sahaja, iaitu suara UMNO yang mana di dalamnya terdapat perjuangan orang Melayu dan bukan Melayu dan dengan suara Raja-raja Melayu sahaja. Bila sudah tercapai kemerdekaan, maka kemerdekaan itu adalah atas semangat kebangsaan Melayu sahaja seperti di negara-negara Asia Tenggara yang lain dan masalah rupa bangsa dapat diselesaikan.

Bagi Hanafi, ia dapat memahami polisi Datuk Onn ini. Oleh itu ia sama-sama berjuang dengan Datuk Onn walaupun Parti Negara kurang mendapat sambutan. Pada tahun 1959, Hanafi memasuki pilihan raya bagi kawasan Pulau Langkawi, sebagai calon Parti Negara. Bersama-sama rakan yang lain ialah Haji Laidin berasal dari Perak, Haji Mat Rejak dari Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan Haji Mat dari J.P. Alor Janggut, Kedah. Turut sama menghantar calon ialah calon dari parti PAS (Persatuan Islam Se Malaya) dan Parti Perikatan.

Hanafi tahu ia akan menerima kekalahan, kerana dewasa itu orang-orang Melayu lebih suka kepada UMNO dan Parti Perikatan dimana Tunku Abdul Rahman ketika itu sangat popular dan dianggap sebagai ‘keramat’. Tetapi Hanafi mahu juga berkempen melahirkan semangat kebangsaan Melayu, supaya anak cucu dikemudian hari nanti tidak boleh menempelaknya, jika orang Melayu jauh ketinggalan Hanafi gagal dalam pilihanraya ini, dan merasa kecewa kerana perjuangan tidak mendapat sambutan dari orang-orang Melayu.

Hanafi akhirnya menukar haluan. Ia tidak lagi mahu menganggotai mana-mana parti politik kerana tidak ada satu pun parti politik yang sesuai dengan jiwanya. Tetapi semangat kebangsaan tetap mengalir di jiwanya. Dengan Hanafi memilih haluan yang lebih sesuai dengan jiwanya dan lapangannya iaitu dengan memperkenalkan Silat Cekak, silat pusaka yang sebenar-benar asli yang berteraskan agama Islam.

No comments:

Post a Comment