Sunday, February 1, 2009

Tentangan Dari Anak Murid

Pada tahun 1968 hasil dari ceramah yang diadakan di Sungai Petani, sebuah kelas Silat Cekak telah dapat ditubuhkan. Azmi Long dan Redwan Long adalah diantara penuntut yang turut sama mempelajari silat ini.

Rakan-rakannya yang lain ialah Hashim Ismail dari Sungai Korok, Ahmad Tarzan dari Kuala Kedah, Darus Chin dan Yadin Hashim dari Sungai Petani. Mereka semua telah berjaya mempelajari silat ini hingga tamat di tangan Hanafi.

Pada 7 haribulan November 1969, Azmi dan Redwan Long telah dipecat dari menjadi ahli PSSBSK dan dari ahli Silat Cekak. Pemecatan ini telah dipersetujui oleh semua ahli jawatankuasa PSSBSK.

Pemecatan dilakukan kerana untuk menyelamatkan Silat Cekak dari mengalami kehancuran. Azmi dan Redwan pada mulanya cuba berbaik-baik dengan Hanafi agar segala rahsia silat akan diperolehinya. Tujuannya ialah untuk mengambilalih pucuk pimpinan silat ini.

Setelah gagal memperolehi apa yang dikehendaki, mereka telah mula menjalankan kegiatan menghasut dengan harapan untuk memecahbelahkan perpaduan yang sedia ada. Sikap Azmi dan Redwan itu adalah dianggap derhaka.

Kesan Pemecatan

Pada hari Jumaat 15 haribulan Mei 1970, Hanafi telah diserang oleh mereka di stesen keretapi Butterworth kerana membalas dendam. Ketika itu Hanafi sedang duduk di dalam kereta. Dengan pertolongan Allah, Hanafi terselamat dari serangan ganas mereka dan Redwan telah jatuh terpelanting di atas jalan dengan berlumuran darah.

Peristiwa tersebut diikuti dengan fitnah yang disebarkan oleh mereka. Mereka menuduh Hanafi yang menyerang mereka hingga akhirnya Hanafi dilokapkan di Butterworth. Peristiwa ini berlanjutan hingga ke mahkamah di mana Cik Marina Yusuf sebagai hakim di ketika itu telah memutuskan Hanafi tidak bersalah.

Walau bagaimanapun, Azmi dan Redwan masih lagi tidak berpuashati atas tindak tanduknya.

No comments:

Post a Comment