Thursday, February 19, 2009

Pengertian Perkataan Cekak

Pertamanya perkataan Cekak ada pertalian erat dengan peribahasa Melayu terutama di Kedah ‘makan cekak’, yang membawa pengertian kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab menjalankan satu-satu tugas. Tegasnya Seni Silat Cekak adalah seni silat yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri.

Kedua: dalam bahasa Minangkabau, perkataan Cekak, diucapkan sebagai ‘cakak’ yang bermaksud gaduh. Jadi Silat Cekak adalah silat gaduh. Tetapi bukan tujuan utama Silat Cekak digunakan untuk bergaduh tetapi silat yang boleh dibawa untuk menjaga keselamatan di dalam pergaduhan. Sebab inilah Silat Cekak tidak dipertunjukkan sebagai silat permainan, di majlis perkahwinan dan keramaian.

Ketiga: perkataan secekak bermaksud segenggam. Ini berti Silat Cekak mengajar yang segenggam bukannya yang segantang. Segenggam buah guru namanya. Ini bererti mata pelajaran Silat Cekak merupakan intisari mata pelajaran silat sahaja (segenggam). Bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak mempelajari asas (perdu) gerak, maka ianya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang pendek sahaja. Segenggam juga bererti perpaduan, ia itu di antara ahli-ahli Silat Cekak tidak boleh bergaduh, dan tidak mencaci silat-silat Melayu yang lain, kerana semata-mata untuk mewujudkan perpaduan di kalangan ahl-ahli dan masyarakat Melayu.

Keempat: Cekak juga bererti pegangan; iaitu silat ini ada mempunyai pendirian, pegangan dan tujuannya yang sendiri. Sebab itulah sebelum penuntut-penuntut mempelajari silat ini ia diberi pegangan dahulu, bahawa mempelari silat ini bukannya untuk bermegah-megah, sombong, menceroboh, mengikut nafsu, tetapi sebenarnya, untuk menjaga diri, bangsa dan agama.

Jadi dari segi pengertian nama sahaja, seperti yang dinyatakan, silat ini mempunyai pengertian yang dalam. Oleh sebab ituiah, ianya menarik untuk dipelajari oleh belia-belia dewasa ini untuk menjaga keselamatan diri.

Berlainan dengan silat-silat lain, umpamanya Silat Gayong Malaysia, dari segi pengertian nama sahaja ia boleh mengelirukan masyarakat Melayu. Orang-orang pantai timur dan di Patani menyebut kalimat silat itu sebagai ‘gayong’. Sebab itu orang di Patani, dinamakan Gayong Patani. Orang-orang di pantai barat menyebut kalimat silat itu ‘silat’. Dengan itu Silat Gayong itu bermaksud silat-silat dimana ia tidak membawa apa-apa pengertian.

Bagi Silat Lincah Malaysia, dari pengajian Hanafi yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang persilatan Melayu, nama Lincah itu sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya merupakan nama baru sahaja dalam alam persilatan. Sebab itulah nama Silat Lincah yang asal bukannya Silat Lincah.

Jadi kedua-dua silat ini tidak dapat diterima oleh mereka yang mengetahui hakikat silat sebenarnya. Ia hanya dipelajari oleh mereka yang tidak faham selok belok seni silat.

No comments:

Post a Comment