Sunday, February 1, 2009

Matlamat Mengembangkan Seni Silat Cekak

Hasrat untuk mengembangkan silat ini adalah hasil dari pemerhatian dan penelitian terhadap silat-silat Melayu di tanah air. Hanafi mendapati pada keseluruhannya silat-silat itu kurang mampu untuk menjaga diri. Masyarakat Melayu pula tidak memberi penilaian yang tinggi terhadap silat.

Ini disebabkan kedudukan silat berada di taraf rendah akibat tidak adanya usaha-usaha sungguh-sungguh dari tokoh-tokoh silat Melayu untuk mengorganisasikan dan mengembangkannya mengikut kehendak zaman, kerana kurang pengetahuan dan pengalaman. Kalau adapun usaha pengembangan hanya dilakukan mengikut cara lama yang tidak berorganisasi, hanya diajar kepada orang tertentu atau ke atas sebilangan kecil orang Melayu.

Masyarakat Melayu pula kurang memahami tentang silat, mereka menganggap silat hanyalah sebagai suatu alat yang dapat dijadikan sebagai bahan hiburan di majlis-majlis kenduri di samping sebagai alat untuk mempertahankan diri. Akibatnya tinggallah silat Melayu itu di kampung-kampung yang difahami oleh beberapa kerat penuntut sahaja.

Memandangkan keadaan silat-silat Melayu yang demikian itu timbul suatu kesedaran sejak kecil lagi untuk mengubahkan corak perkembangan silat Melayu ini secara berorganisasi dan diterima ramai. Hanafi juga sebagai pencinta seni mahukan supaya seni silat Melayu dinaikkan ke taraf yang tinggi supaya melebihi kedudukannya dengan ilmu pertahanan diri dari luar negeri. Bagi memenuhi maksud itu Silat Cekak yang mempunyai serba kelengkapan pertahanan diri perlu ketengahkan.

Kesan dari organisasi yang teratur, ilmu pertahanan diri luar negeri telah dapat berakar umbi di negara ini. Kehadiran ini telah memberi kesan yang kurang baik kepada perkembangan seni silat Melayu. Ada masyarakat Melayu berpendapat ilmu pertahanan diri yang diimport itu, tinggi mutunya dan berpendapat silat Melayu yang berkeadaan menari-menari itu susah untuk menandinginya. Ada guru-guru yang berminat mencampuradukkan ilmu dari luar itu dengan silat Melayu yang selama ini dikembangkan hingga menyebabkan silat Melayu tidak mempunyai keperibadiannya sendiri.

Perkembangan yang tidak sihat ini lama kelamaan akan merosakkan kebudayaan Melayu. Bagi memelihara keaslian silat Melayu keseluruhannya, Hanafi mengembangkan Silat Cekak dengan hasrat untuk menyekat perkembangan ilmu tersebut dari mempengaruhi silat Melayu dan dengan tujuan menyedarkan masyarakat Melayu yang mereka juga mempunyai silat yang boleh menandingi mutu ilmu pertahanan diri yang diimport itu. Hanafi juga percaya bahawa kemasukan ilmu tersebut itu adalah merupakan suatu bentuk penjajahan terhadap kebudayaan Melayu, yang perlu diambil perhatian berat.

Seni Silat Cekak yang segala amalannya bersesuaian dengan asas ugama Islam juga dikembangkan bertujuan untuk membasmi unsur tahyul dan khurafat yang sedang berleluasa mempengaruhi silat Melayu. Dengan mempelajari silat-silat seperti ini ramai masyarakat Melayu yang telah menjadi sesat tanpa disedari. Amalan amalan yang menyesatkan itu, seperti menyemah gelanggang silat dengan bertujuan menjamu jin yang dianggap penunggu kawasan itu.

Ada pun penuntut-penunutut yang dimandikan dengan minyak panas untuk menguji kekebalan mereka. Lebih mendapat perhatian lagi ialah silat-silat yang mengamalkan ilmu kebal. Kelebihan yang ada ini telah banyak menarik perhatian anak-anak muda untuk mempelajarinya. Sungguhpun ayat-ayat yang digunakan banyak menggunakan ayat-ayat Quran tetapi ia melihatkan unsur-unsur tahyul dan khurafat. Silat itu dianggap silat yang menyesatkan orang ramai.

Dengan mengembangkan Silat Cekak yang tidak mempunyai unsur tahyul khurafat Hanafi percaya ramai anak-anak muda dapat diselamatkan dari memepelajari silat-silat seumpama itu. Ilmu kebatinan yang diajar oleh Pak Haji Zain dapat digunakan untuk membimbing anak-anak muda kejalan yang benar melalui silat.

No comments:

Post a Comment