Monday, January 26, 2009

Perwatakan

Hanafi Haji Ahmad seorang tokoh yang tidak asing kepada peminat-peminat silat tanah air. Hanafi dilahirkan pada 1923 di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Star, Kedah. Anak sulung kepada tujuh orang adik beradik seibu sebapa. Berketurunan Melayu Kedah, ibu bapa Hanafi bekerja sebagai petani dan penghidupan mereka anak beranak boleh dikatakan senang, walaupun tidak mewah.

Hanafi telah mendirikan rumahtangga dengan Maimunah Binti Osman pada akhir tahun 1947, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Kedah. Hasil dari perkongsian hidup mereka telah dikurniakan enam orang anak, lima lelaki seorang perempuan.

Menurut ibunya Hajjah Zainab, sejak kecil Hanafi mempunyai peribadi berlainan dari adik beradiknya dan kawan-kawan saingannya. Kebijaksanaannya berfikir, melaksanakan sesuatu pekerjaan jauh lebih baik dari rakan-rakannya yang lain. Ibunya ada mengikut petua orang tua-tua, diwaktu Hanafi dilahirkan urinya telah dibuangkan kelaut kerana mengikut petua orang tua-tua akal bayi itu kelak akan luas seperti laut itu juga.

Hanafi sejak kecil lagi berminat untuk belajar. Segala pelajaran yang di pelajari mudah difahami.

Hanafi juga mempunyai sifat berani. Timbul sifat berani mungkin kerana mungkin ia merupakan anak yang tertua. Juga merupakan orang yang berani diketika itu. Hanafi pernah melihat ayahnya menerajang orang kerana tujuan mempertahankan diri jadi sifat

Hanafi juga tidak mudah percaya kepada orang. Setiap kenyataan perlu dibuktikan kenyataannya samada benar atau tidak. Pernah suatu keberanian telah menjadi satu perkara semula jadi kepadanya – berani kerana benar. Ketika dirumah neneknya bernama Tok Esah, oleh kerana khuatir jambu kelingnya dicuri orang beliau mendakwa sesiapa yang memakannya akan sakit perut. Hanafi tidak percaya atas dakwaan orang tua itu. Suatu malam dicurinya buah jambu tersebut dan dimakannya, tidak pula memudaratkannya. Dari pengalaman ini tahulah ia yang Tok Esah berbuat demikian kerana muslihat lain.

Hanafi juga seorang kanak-kanak yang degil kerana tidak mahu mengikut nasihat orang. Bila dewasa sifat-sifat ini masih kekal. Kebijaksanaannya membolehkan Hanafi berfikir, merancang dan membuat keputusannya tanpa meminta pandangan orang lain.

Menurut Dr. Mohd Zain Haji Osman yang tinggal sekampung dengan Hanafi berpendapat:

“Hanafi itu memang seorang yang pandai berhujah, agresif, berjiwa Melayu tulin, bijak, hanya menerima nasihat jika kena pada tempatnya. Tidak suka menunjulkan diri, tidak suka diampu dan menganpu, pendiriannya tegas dan pandai menyesuaikan diri, pakaiannya mengikut aliran zaman.”

Beliau menambah lagi :

“Dia juga seorang yang cergas, rajin membaca, cenderung kepada keagamaan dan mempunyai jiwa dakwah yang kuat; oleh itu Hanafi memang lebih layak untuk menjadi seorang pemimpin”


Abdul Rahman Mahadi seorang sahabatnya, berpendapat, “ Hanafi seorang yang berani, luas pandangan, dan lebih suka menggunakan fikiran sendiri ”.

“Hanafi itu seorang yang keras hati, tidak suka mendengar pendapat orang lain walaupun gurunya sendiri jika didapati tidak bersesuaian dengan jiwanya. Suka menolong orang susah, tidak hairan dengan orang hartawan dan berpangkat. Fikirannya maju kehadapan dan dapat mengatasi pendapat orang lain dalam segala bidang sama ada, politik dan silat ”.
beliau menambah lagi:

“Memang sejak kecil lagi ia merupakan seorang yang berani pada jalan yang benar, berani bertikam lidah dengan sesiapa sahaja dan berani mengeluarkan pendapat ”.

Shahnon Ahmad, yang pernah mengenali Hanafi berpendapat :

“Hanafi banyak mempelajari dari pengalamannya sendiri – melalui bacaan-bacaan yang luas dan tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain kerana teguh dengan pendiriannya yang tegas. Bukan seorang yang konservatif, statik dalam segala bidang. Liberal dalam hal-hal yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam”.

Beliau menambah lagi:

“Hanafi mempunyai fahaman yang luas di bidang agama. Mengkaji sampai keinti-intinya dan ajaran mengenai Islam mudah difahami. Tetapi ia tidak mempunyai ramai kawan kerana peribadinya yang tidak mahu bertolak ansur. Orang yang tidak mengenalinya akan mengatakannya seorang yang sombong dan cakap besar”.

Menurut keterangan sahabatnya Husin Ahmad:

“Hanafi seorang yang berani dalam perjuangan. Fahaman kebatinannya kepada Allah Taala sangat dalam. Suka mencari benda-benda yang ajaib yang berlandaskan ugama Islam”.

Disini dapat disimpulkan bahawa Hanafi seorang yang layak untuk menjadi pemimpin sebuah Persatuan Silat yang menghadapi berbagai-bagai tentangan untuk mencapai matlamatnya.

No comments:

Post a Comment