Friday, March 6, 2009

Syarat-syarat Mempelajari Seni Silat Cekak

Seorang yang ingin mempelajari Silat Cekak, mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, kerana mereka dianggap sudah mempunyai fikiran yang matang dan waras.

Kanak-kanak tidak dibenarkan mempelajari silat ini, kerana silat ini bukanya silat permainan tetapi silat untuk bergaduh, iaitu silat untuk mempertahankan diri. Tambahan pula kanak-kanak tidak menggunakan fikiran yang waras, mungkin kerana salah sedikit terus dicabar lawannya untuk bergaduh. Ini boleh membawa mudarat.

Silat Cekak digunakan hanya untuk mempertahankan diri, bukanya untuk menujukkan kehandalan. Kerajaan pun untuk mengambil anggota keselamatan – askar dan polis, mensyaratkan seseorang itu mestilah sekurang-kurangnya 18 tahun untuk diberikan senjata api.

Sebelum-sebelum ini Silat Cekak tidak mengambil ahli-ahli perempuan bagi mempelajari silat ini, walaupun pernah satu ketika dulu ada wanita-wanita yang telah mempelajarinya. Tetapi perkara yang tidak diingini telah berlaku. Silat Cekak tidak mahu kepada keburukan, jadi bagi mengatasinya Silat Cekak tidak mengambil kaum wanita. Wanita memang susah untuk dikawal kerana mereka cepat menurut perasaan.

Syarat kedua mestilah menjadi ahli Persatuan yang menaungi Silat Cekak. Mereka dikenakan bayaran masuk dan yuran bulanan. Pembayaran ini digunakan untuk urusan pentadbiran pejabat, kerana persatuan tidak dapat bergerak tanpa sumber-sumber kewangan dari ahli-ahlinya.

Penuntut-penuntut yang mempelajari Silat Cekak juga dikenakan 'pengkeras' guru dan juga yuran belajar selama enam bulan sahaja. Tetapi dalam hal-hal keugamaan umpamanya, dengan mengadakan ceramah-ceramah ugama dan khusus-khusus Tauhid tidak dikenakan apa-apa bayaran kerana dalam ugama tidak boleh menuntut apa-papa bayaran walaupun sesen. Silat dikenakan bayaran kerana ia pakaian dunia, maka bolehlah ianya dikenakan yuran.

Syarat-syarat untuk mempelajari silat ini tidaklah menyusahkan bagi mereka yang berminat. Dalam tempoh masa dua belas tahun silat ini dilahirkan, ada sahaja orang-orang Islam yang mahu mempelajari. Ada di antara mereka datang sendiri ke pejabat persatuan setelah mendengar ceramah-ceramah dan melihat pertunjukan silat ini untuk mempelajari Silat Cekak.

No comments:

Post a Comment