Tuesday, February 3, 2009

Penentangan Kalimah di Konvensyen Seni Silat Malaysia

Kesempatan untuk menjatuhkan Silat Cekak telah dibuat sewaktu Hanafi membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Silat Cekak Malaysia” di Dewan Kuliah ‘A’ pada 13hb Julai 1973 di konvensyen ini. Dalam kertas kerjanya itu Hanafi menjelaskan:

Menurut siasah dan hemat dan keyakinan kami bahawa Seni Silat Cekak ini benar-benar berasal dari Kedah sendiri yang diamalkan oleh panglima-panglima negeri Kedah di zaman silam.

Sebelum selesai kertas kerja itu dibaca Redwan Long telah mengambil kesempatan mencabar Hanafi supaya menjelaskan Silat Cekak dan Silat Kalimah siapa mengambil siapa?

Tujuan Redwan menimbulkan persoalan itu untuk menyatakan kepada umum bahawa Hanafi pernah berguru dengan Yahya Said, Hanafi telah menyingkirkan Yahya dan menubuhkan Silat Cekak. Redwan telah mendapat sokongan yang hebat dari para hadirin.

Dengan tenang Hanafi menjawab asal usul Silat Cekak. Hanafi juga dengan tegas mengatakan bahawa Azmi dan Redwan telah mempelajari Silat Cekak darinya di Sungai Petani bukannya dari Silat Kalimah. Borang pendaftaran mereka sebagai ahli PSSCM telah dikemukakan kepada umum.

Bukti yang mengatakan Yahya Said pernah mengajar Silat Cekak dan bukannya Silat Kalimah juga dapat dikemukakan. Silat Kalimah juga baharu ditubuhkan sedangkan Silat Cekak melalui PSSBSK telah muncul dan diorganisasikan sejak tahun 1965 lagi.

Pada keseluruhannya para hadiri yang terdiri dari guru-guru silat tetap memihak kepada Kalimah dan menyangkal kebenaran Silat Cekak.

Umpamanya Silat Gayong, Silat Terlak dari Kelantan, Silat Jati Bersekuru dari Kedah yang turut menentang keras. Silat Gayong yang paling menentang kuat kerana Hanafi pernah membuat teguran dan kenyataan akhbar di Utusan Malaysia mengatakan “Paling jelas yang mempunyai unsur tahyul dan khurafat ialah Silat Gayong Malaysia yang diketuai oleh Datuk Meor Rahman yang amat ketara.”

Penyelewengan ini berdasarkan kepada kaedah-kaedah Gayong yang banyak diambil dari kaedah pertahanan diri dari luar negeri dan banyak unsur-unsur khurafat yang diamalkan, contohnya khatam di laut yang berasal dari ugama Hindu. Teguran yang menimbulkan kemarahan Silat Gayong itu telah digunakan oleh Silat Kalimah untuk menentang Silat Cekak.

Azmi dan Redwan juga telah dapat mempengaruhi pemberita untuk membuat liputan-liputan yang tidak benar yang berlaku di konvensyen tersebut.

Seorang pemberita yang bernama Maarof bin Mohd. Noor pernah membuat siaran akhbar Berita Harian bertarikh 12hb Julai 1973 mengatakan, “Bagaimanapun orang kurang kenal dengan Silat Kalimah, Mahaguru silat tersebut En. Yahya Said memberitahu, silat tersebut berasal dari Kedah.”

Kenyataan itu bertentangan dengan perkara sebenar. Untuk memulihkan kekeliruan orang ramai Hanafi telah membuat kenyataan akhbar yang berasingan melalui tulisan Zainal Abidin di dalam akhbar Berita Harian, 14hb Julai 1973, bertajuk “Silat Cekak punya keaslian yang tulin”. Hanafi telah menjelaskan dengan panjang lebar asal-usul dan keaslian Silat Cekak.

Azmi dan Redwan gagal menghilangkan kepercayaan orang ramai keseluruhannya terhadap kebenaran Silat Cekak, sungguhpun ramai para perwakilan telah tepengaruh dengan hasutan mereka. Ada di antara mereka yang mengikut sepenuhnya perkembangan persidangan tersebut terus terang menyatakan simpatinya terhadap Silat Cekak di akhir persidangan itu.

Bagi Silat Gayong dan beberapa silat lain tetap menyangkal kebenaran Silat Cekak tetapi pada hakikatnya mereka telah dapat membuat pertimbangan yang sebenar. Penentangan mereka itu hanyalah mengikut sentimen semata-mata.

No comments:

Post a Comment