Monday, February 2, 2009

Perkembangan Silat Cekak Di Kuala Lumpur

Dengan kepercayaan yang penuh akan kejayaan Silat Cekak, Hanafi dengan ilmu dan pengalaman yang ada tanpa sebarang persediaan yang cukup telah memberanikan diri untuk menjalankan kegiatannya di Kuala Lumpur yang penuh dengan berbagai cabaran pada akhir tahun 1970.

Di peringkat awal kedatangannya, Hanafi tidak mengenali sesiapa pun kecuali seorang rakan lamanya di Kedah bernama Hussain bin Ahmad yang tinggal di Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur.

Melalui Hussain juga Hanafi telah diperkenalkan dengan beberapa kenalan lain yang dapat membantu usaha Hanafi untuk memulakan kegiatannya. Di peringkat awal kegiatannya Hanafi tidak dapat bergerak bersendirian kerana belum lagi memeperolehi sebarang Persatuan Bawean Putra di mana dibenarkan menggunakan nama persatyuan itu untuk menjalankan kegiatannya.

Hasil dari ceramah, seramai 12 orang telah berminat untuk mempelajari Silat Cekak. Kegiatan yang pertama ini dilakukan di Kampung Bumiputra, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Di peringkat awal perkembangannya ini tidak terdapat sebarang tentangan kerana di waktu itu minat terhadap silat masih lagi belum wujud di kalangan masyarakat bandar. Tanpa sebarang gangguan, seramai 12 orang penuntut-penuntut itu telah tamat.

Di antara mereka itu ialah, Mohamad bin Abdullah dan isterinya Lijah, Shuib Haji Ahmad, Md. Din Awang, Hamzah, Rahim, Rahman Khalid dan lain-lain lagi. Ini merupakan suatu kejayaan yang dapat dijadikan teras untuk perkembangan selanjutnya.

Untuk menjadikan pergerakannya lebih berkesan dan bebas Hanafi telah berusaha supaya kegiatannya didaftarkan. Hanafi telah meminta Abdul Rahman Mahadi yang ketika itu berada di Kedah supaya merangka suatu perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak untuk dimajukan kepada pihak pendaftaran.

Pada 19hb Ogos 1971 kegiatan Silat Cekak telah didaftarkan dan diberi nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia yang kemudiannya diubah kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). Dengan ini PSSCM dapat menjalankan kegiatannya di seluruh Malaysia tanpa sebarang gangguan dari pihak berkuasa.

Di peringkat awal, persatuan ini menggunakan alamat rumah Hussain, no.39, Lorong Keramat 19, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Di rumah inilah segala kegiatan dan perhimpunan dibuat.

Hussain juga telah membenarkan kedainya di Jalan Raja Alang, Kampung Bahru, Kuala Lumnpur, sebagai tempat perjumpaan anggota Cekak.

Buat pertama kalinya setelah PSSCM ditubuhkan sebuah kelas lagi telah dapat dibuka di Sungei Way, dan cawangan ini telah didaftarkan pada 6hb Disember 1971. Kelas kedua ini dianggotai oleh penuntut-penuntut berbagai peringkat umur, dan masing-masing mempunyai tabiat dan peribadi yang tersendiri.

Bagi manambahkan minat mereka untuk belajar Hanafi telah menjalankan beberapa dasar halus. Pernah terjadi pada suatu malam seramai 4 orang penuntut telah masuk belajar di dalam keadaan mabuk dan memukul penuntut –penuntut yang lain. Mereka itu ialah Kadir Busu, Hamid Dolmat, Mohd. Noor dan Nordin , di dalam peringkat umur pertengahan.

Mereka telah berlatih tanpa mengikut peraturan yang tertentu. Melihatkan keadaan itu Hanafi tidak berkata apa-apa. Cuma ia menyuruh penuntut-penuntut lain memujuk mereka supaya balik.

Hanafi secara terus terang berkata, “Saya tak marah kepada mereka, cuma saya tak berkenan sahaja.” Kata-kata Hanafi ini telah sampai ke pengetahuan mereka melalui rakan-rakan yang lain. Dengan ini mereka telah mengambil keputusan untuk terus belajar dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dari kelas kedua inilah Hanafi mula menghadapi berbagai dugaan dan ancaman yang hampir-hampir membantutkan usaha-usahanya untuk mengembangkan Silat Cekak.

No comments:

Post a Comment