Tuesday, February 3, 2009

Seni Silat Cekak di Pusat-Pusat Pengajian Tinggi

Di dalam menghadapi berbagai tentangan Hanafi tetap berusaha memperkembangkan Silat Cekaknya di pusat-pusat pengajian tinggi.

Peluang pertama yang diperolehi untuk mengembangkan konsep Silat Cekak di pusat-pusat pengajian tinggi adalah melalui konvesyen Silat Melayu oleh Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Sains Malaysia, yang berlangsung pada 12-14hb Julai 1973. Hanafi telah berjaya memperkenalkan Silat Cekak melalui kertas kerjanya bertajuk Seni Silat Cekak Malaysia dan pertunjukan yang banyak memperlihatkan perbezaan dengan silat-silat lain yang turut serta dalam pertunjukan itu.

Sistem kaedah yang berlainan ini telah menarik perhatian sebilangan besar mahasisiwa di universiti tesebut. Kertas kerja yang mendapat tentangan hebat dari Silat Kalimah dan penyokong-penyokongnya telah dijadikan bahan rujukan di beberapa buah universiti dan berada dalam simpanan Kementerian Belia dan Sukan.

Pada 26hb Disember 1973 pula Persatuan Seni Silat Cekak telah diundang oleh Kolej Ketiga, Universiti Malaya, untuk mengadakan pertunjukan di majlis hari terbukanya. Pertunjukan yang diadakan itu telah mengkagumkan para hadirin. Sebenarnya kehadiran Silat Cekak di kolej tersebut ialah disebabkan oleh daya usaha seorang Mahasiswa tahun kedua Universiti Malaya bernama Rauhi Mohamad Isa yang berpunca dari sepucuk surat yang bertarikh 3hb Oktober 1973 yang dihantar ke ibu pejabat persatuan meminta penjelasan yang lengkap mengenai Silat Cekak yang pernah dibacanya melalui Majalah Dewan Masyarakat terbitan bulan Ogos 1973.

Hanafi dengan kepercayaan yang penuh telah menghantar seorang penuntut tahun ketiga Universiti Malaya, yang telah mempelajari Silat Cekak bernama Amruddin Buang untuk menemui Rauhi bagi memberi penjelasan lanjut. Rauhi tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan ia mahukan supaya dilakukan secara praktikal. Keputusannya Rauhi telah gagal menggunakan kaedah-kaedah Silat Gayong yang telah dipelajarinya selama lima tahun untuk menangkis buah-buah pukulan Cekak yang dilakukan oleh Amruddin itu.

Kegagalan Rauhi menggunakan kaedah-kaedah Silat Gayong itu telah menyebabkan ia mengiktiraf kebenaran Silat Cekak dan cuba pula untuk mempengaruhi rakan-rakannya yang lain supaya mepelajari Silat Cekak yang lebih bermutu. Buat pertama kalinya sebuah cawangan telah berjaya ditubuhkan di Universiti Malaya pada bulan Julai 1974. Ekoran dari penerimaan Silat Cekak di Universiti Malaya telah mendorong Hanafi untuk memperluaskan kegiatannya di pusat-pusat pengajian tinggi yang lain pula. Melalui ceramah dan pertunjukan yang sama Institut Teknologi Mara telah menerima konsep Silat Cekak pada tahun 1975 diikuti oleh Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1975, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1976 dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1976.

Penerimaan mahasiswa terhadap konsep Silat Cekak adalah kerana sistem pelajarannya secara akademik dan bersistematik. Setiap kenyataan atau kaedah-kaedahnya boleh dipersoalkan dan dibuktikan kebenarannya sehingga mereka puas hati. Setiap penerangan yang berbentuk teori dapat dibuktikan melalui praktikal. Mereka juga dapat membandingkan kaedah-kaedah Silat Cekak dengan silat lain melalui perbezaan yang dilihatnya dari pertunjukan yang diadakan.

Sebagai penuntut yang mempunyai fikiran yang luas dan dinamis mereka tidak dapat menerima konsep silat-silat yang mengamalkan ilmu tahyul dan khurafat seperti ilmu kebal, boleh makan kaca, berjalan di atas bara api sehingga membawa keadaan lupa diri. Mereka juga menyedari bahawa ilmu seumpama itu adalah bercanggah dengan asas keislaman. Ketidakhadiran ilmu-ilmu tersebut di dalam Silat Cekak telah menyebabkan mereka mempunyai kepercayaan penuh terhadap kesucian Silat Cekak.

Keyakinan mereka ditambah lagi dengan penegasan yang diberi oleh Hanafi melalui ceramah-ceramah bahawa Silat Cekak ini adalah semata-semata untuk tujuan mempetahankan diri, dan bukan menyerang. Hanafi dalam ceramahnya pernah berkata:

“Pelajaran Silat Cekak lebih menitikberatkan mempertahankan diri dari menyerang. 99% pelajarannya untuk mempertahankan diri dan hanya 1% saja untuk menyerang. Kalau diutamakan menyerang seseorang itu akan bersifat ganas. Ganas adalah sifat binatang dan berani adalah sifat insan”.

Kata-kata inilah yang menambat hati mereka untuk menerima konsep Silat Cekak dan mempelajari silat yang benar-benar asli ini.

Adalah menjadi tabiat mahasiswa, mereka inginkan kebebasan di dalam berfikir dan tidak mahu diperalatkan oleh mana-mana pihak yang sentiasa ingin mencari kesempatan. Mereka berminat dengan Silat Cekak ini kerana pergerakan Silat Cekak adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak walaupun dari parti-parti politik. Melalui faktor-faktor yang dinyatakan itu konsep Silat Cekak dengan mudah diterima oleh mahasiswa, Hanafi di dalam ucapannya sewaktu menyambut perayaan 10 tahun Cekak pada 25hb Disember 1975 bertempat di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur, berkata:

”Walaupun nampaknya sebagai perkara biasa sahaja, namun sebenarnya dengan penerimaan penuntut-penuntut tersebut menunjukkan yang Silat Cekak itu satu-satunya Silat Melayu yang bermutu tinggi, yang sesuai dan boleh dikaji secara akademik dan saintifik yang mana dengan ini menyebabkan penuntut-penuntut yang bernas itu dapat menerimanya dengan mudah sekali.”

Penerimaan konsep Silat Cekak di pusat-pusat pengajian tinggi adalah dianggap baik kepada perkembangan Silat Cekak selanjutnya. Dengan ini harapan Hanafi untuk menaikkan taraf silat Melayu ke peringkat tinggi mulai memperlihatkan hasilnya.

Mahasiswa yang telah tamat mempelajari Silat Cekak ini dapat membantu untuk mencapai sepenuhnya tujuan itu. Masyarakat Melayu amnya memang memandang tinggi terhadap kebolehan penuntut lepasan universiti dan segala cakap dan pandangan mereka adalah dinilai oleh mereka. Melalui anggapan inilah mereka dapat memainkan peranan dalam usaha memperkenalkan Silat Cekak ini apabila mereka berkecimpung dengan masyarakat sekitar kelak.

No comments:

Post a Comment