Sunday, February 1, 2009

Tentangan Dari Guru-Guru Silat

Perasaan tidak setuju dari kalangan masyarakat bertambah lagi apabila Hanafi telah pun bergiat didalam bidang persilatan. Guru-guru silat ramai yang cemburu kepada Hanafi kerana mereka khuatir dengan tersebarnya silat yang dibawa oleh Hanafi itu, maka akan leburlah pengaruh mereka.

Bagi menyekat kegiatan itu, usaha-usaha menubuhkan gelanggang silat begitu rancak di negeri Kedah diketika itu. Disana-sini muncul berbagai-bagai jenis silat yang tidak berdaftar, berlumba-lumba mencari pengaruh dan penuntut untuk menyekat kegiatan Hanafi. Adalah diketahui dari jumlah yang ada, hanya 30 badan silat sahaja yang berdaftar, yang lainnya menjalankan kegiatan secara haram.

Ada juga beberapa persatuan silat yang menentang secara berterus-terang. Hanafi membuka tembelang persatuan tersebut dengan mengatakan silat yang dikembangkan itu bukanlah silat Melayu tetapi sebenarnya silat dari luar negeri.

Hasil dari ceramah yang dilakukan oleh Hanafi banyak juga memberi kesan. Ramai pemuda tidak bersetuju dengan silat yang dipelajarinya lalu masuk mempelajari Silat Cekak. Diantaranya ialah seperti Mat Zain Bin Shafie, murid kesayangan Wan Husin – guru Kuntau Siam.

Guru-guru silat bertambah marah, ada yang telah berpakat untuk menyerang Hanafi diwaktu gelap tetapi tidak berjaya. Hanafi dan keluarga dipulaukan oleh masyarakatnya. Ini jelas bila Hanafi, tidak dijemput di dalam majlis kenduri. Di peringkat ini Hanafi berkeadaan sangat menyedihkan.

Menurut Rahman Mahadi, “Keadaan hidup Hanafi ketika memulakan kegiatan silat ini, saya lihat begitu menyedihkan selain daripada kehidupannya yang begitu sempit dari segi kewangan, tekanan dari kiri dan kanan sangat dahsyat.”

Melihatkan keadaan yang begitu terdesak dan terhimpit, ibunya menasihatkannya supaya memberhentikan sahaja kegiatannya itu.

Tetapi Hanafi menjawab, “Kalau takut orang benci, duduk dalam kelambu, itu pun bini akan benci kerana tidak bekerja dan mencari rezeki.”

Shahnon Ahmad, ketua satu PSSBSK dewasa itu juga kurang yakin akan silat itu akan berkembang.

Hanafi tetap berusaha untuk mencapai cita-citanya, walau apa pun terjadi.

No comments:

Post a Comment