Monday, January 26, 2009

Mengaji Cara Pondok

Hanafi mula mendapat awal di Sekolah Melayu Gunung, Alor Star, Kedah, ketika berumur enam tahun. Bakat kepimpinan Hanafi telah mula kelihatan bila ia dilantik menjadi ketua kebun dan ketua darjah. Hanafi juga merupakan seorang murid yang pintar dan memperolehi markah yang baik didalam pelajaran-pelajarannya, terutama sekali dalam matapelajaran Tawarikh.

Kepintarannya disertai juga kenakalannya. Hanafi sering berjalan-jalan didalam kelas dan tidak mendengar nasihat gurunya. Hanafi sering menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh gurunya, walaupun bukan ia yang sepatutnya menjawab. Samaada betul atau salah tidak menjadi soal kepadanya.

Hanafi telah dibehentikan dari sekolah ketika ia berada didarjah empat. Bapanya berhasrat untuk menghantarnya mengaji secara pondok, supaya dapat diberikan didikan keagamaan sepertimana kanak-kanak yang lain dewasa itu. Sifat degil dan nakal Hanafi menguatkan lagi keazaman bapanya untuk menghantar anaknya meneruskan pelajaran di pondok daripada kesekolah Melayu mahupun ke sekolah Inggeris.

Setelah diberhentikan Hanafi datang sendiri mengaji di pondok Kampung Alor Goncah, Mukim Gunung, Alor Star, Kedah, yang letak kira-kira dua batu dari rumahnya. Pondok ini dibawah pengawasan Hj. Osman Bin Lebai Zain. Setelah bapanya mengetahui, barulah dia menyerahkan Hanafi mengaji di pondok itu.

Semasa mengaji di pondok ini Hanafi merupakan seorang murid yang malas mengulagkaji pelajaran di rumah. Tetapi ia sangat cerdik dalam pengajiannya. Ia dapat mengatasi kawan-kawan yang lain seramai 70 orang itu. Ini menyebabkan kawan-kawannya merasa irihati kepadanya, kecuali Haji Wahab Bin Haji Idris dari Kampung Tok Kling,Kedah yang ‘sesuai’ dengannya.

Hanafi juga suka membangkang pendapat kawan-kawannya. Gurunya Haji Osman menyayangi beliau dari murid-murid yang lain kerana kepintarannya tetapi tidak setuju pula dengan kedegilannya.

Pada tahun 1935, setelah dua tahun belajar pondok ini, Hanafi telah dipecat kerana telah difitnah oleh anak saudara isteri Haji Osman iaitu Haji Mohd. Zain Bin Haji Saleh, kononnya Hanafi telah menikam curi seorang pungung kawan pada hari dimalam Jumaat dengan sebilah pisau lipat, dari bawah pondok. Keberanian Hanafi membuktikan diri dan tidak gentar kepada sesiapa menyebabkan ia ‘dipecat’ terus daripada pondok tanpa disiasat oleh gurunya. Perkara ini telah menyebabkan bapanya berasa sangat malu kononnya anaknya jahat hingga dipecat dari pondok.

Hanafi tidak berkecil hati dengan hukuman ini, kerana Haji Osman pernah mengajar tafsir Al-Quran yang mengatakan “Adakah tidak bumi Tuhan ini luas dan lapang? Dimana-mana kamu boleh berpindah kepadanya?” bila ia mengulaskan mengenai tuan Hussein Bin Nasir yang tidak dibenarkan mengajar di Kedah oleh Sultan Kedah, hingga berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai kerana Sultan Kedah tidak ‘berkenan’ dengannya, dimasa yang lalu.

Setelah berhenti pada tahun 1936, kira-kira berumur 14 tahun, Hanafi dihantar oleh bapanya mengaji di pondok Guar Cempedak,Gurun Kedah, kira-kira 23¾ batu dari rumahnya. Pondok ini dikendalikan oleh Hj. Abdul Majid yang mengajar agama disebelah malam dan dengan Yahya Jonid dan beberapa guru yang lain mengajar secara sekolah arab disebelah pagi. Kerana pondok ini jauh dari rumahnya, Hanafi tinggal bersama-sama seramai 400 orang yang lain di pondok ini. Hanya sebulan sekali ia pulang ke rumah.

Hanafi sekali lagi memperlihatkan kebijaksanaannya didalam segala lapangan. pemahaman di dalam bilik darjah sahaja, ketika guru-gurunya mengajar, masih dapat mengatasi kawan-kawannya yang lain, walaupun mereka lebih rajin mentelaah. Bila masa-masa lapang Hanafi lebih suka bermain-main daripada belajar.

Semasa di pondok ini Hanafi bersahabat baik dengan Haji Jaafar berasal dari Sungei Acheh Krian, Seberang Perai. Sekarang menjadi guru di Sungei Besar ,Sabak Bernam, Selangor. Yang lain-lain kurang berminat berkawan dengannya, kerana ia tidak suka mendengar cakap kawan-kawannya dan tidak ‘mau mengaku kalah’ dalam segala lapangan pun. Malah nasihat gurunya Yahya Jonid juga tidak didengarnya. Pernah gurunya Yahya Jonid menasihatkannya supaya melanjutkan pelajarannya ke India di bidang keagamaan – tetapi Hanafi enggan kerana pada fikirannya pendidikan keagamaan ini tidak sesuai pada masa akan datang.

Semasa belajar di sini (Guar Cempedak) Hanafi dapat merasakan bahawa satu tidak ketidak adilan telah di lakukan oleh Yahya Jonid keatasnya. Disuatu hari penyampaian hadiah (ihtifal) sebagai seorang muri yang mendapat nobor satu, telah diberikan hadiah yang sama nilainya dengan Hj. Abdul Zahari Bin Azhari (mendapat nombor dua) kerana Yahya Jonid lebih Sayang kepadanya. Buktinya Hj. Abdul Zahari itu telah menjadi menantu Yahya Jonid.

Perkara ini tidak mendatangkan apa-apa kesan keatasnya, kerana ia berpendapat “yang baik itu tetap baik dan yang tidak baik itu tetap tidak baik”.

Akhirnya Hanafi berhenti belajar di pondok ini, setelah belajar hanya setahun sahaja kerana tidak sesuai dengan penyampaian guru-gurunya dan berpendapat tiada ‘apa-apa’ fahaman yang diperolehi sekadar pengatahuan asas-asas keagamaan sahaja.

Hanafi akhirnya pulang ke kampung dan cuba belajar dengan beberapa orang guru. Antaranya dengan:

1. Haji Bukhari Bin Haji Hassan – dari batu 4¼ Kampung Pinang Mukim Pengkalan Kuno, Alor Star, Kedah.

2. Haji Hanafiah – bapa saudara Hanafi dari Anak Bukit, Alor Star, Kedah.

3. Haji Lah – dari Cegar Pantai Johor, Kedah.

Melalui mereka, pengalaman ilmu Bayan, maani, hadith dan Bahasa Arab bertambah sedikit sebanyak. Hanafi akhirnya behenti belajar dengan mereka juga kerana walaupun ia masih kecil tetapi ia dapat merasakan cara pengajian tidak sesuai dengannya dan selalu juga mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan memuaskan hatinya. Hanafi juga merasa tiada apa-apa kelebihan pun yang didapati daripada mereka cuma sekadar menambah pengetahuan agamanya sahaja.

No comments:

Post a Comment