Monday, January 26, 2009

Belajar Dengan Pak Ngah Syarif

Sifat Hanafi yang degil tidak mahu mendengar pendapat orang telah telah membawa minat untuk melengkapkan diri dengan pelajaran silat. Hanafi sedar di Kedah memang ramai para pendekar yang masing-masing mempunyai gelanggangnya sendiri untuk mengajar silat yang dibawanya.

Hanafi juga pernah membuat kajian terhadap silat-silat itu. Secara keseluruhannya didapatinya silat yang wujud diketika itu bukanlah sejenis silat yang dianggap benar-benar dapat dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri, hanya sesuai untuk dipertunjukkan dikhalayak ramai sahaja.

Kalau pun ada yang dianggap baik didapati bertentangan dengan asas keagamaan. Ini terbukti berbagai apacara yang karut marut dilakukan ketika hendak membuka gelanggang. Bagi Hanafi semuanya tidak sesuai dengan jiwanya. Ia mahu mencari silat yang bermutu tinggi dan dapat menjaga keselamatan diri.

Hanafi mendapat tahu ada seorang pendekar yang handal di Kedah diketika itu bernama Pak Ngah Syarif. Kehandalan beliau memang sering deperkatakan oleh orang diketika itu. Beliau pernah mengalahkan orang-orang Siam di gelanggang Kuntau Siam di Thailand. Tidak seorang pun di ketika itu yang berani berdepan dengan beliau. Dari hari kesehari Hanafi ingin menemuinya, tetapi tidak berhasil kerana Pak Ngah Syarif suka merantau menjual ubat.

Bapa Hanafi memahami jiwa anaknya ada menaruh minat terhadap Pak Ngah Syarif. Suatu hari di pekan Anak Anak Bakit Alor Star, Kedah, bapanya telah menunjukkan kesuatu arah dimana ramai sedang berkumpul dan mengatakan orang di tengah-tengah itulah Pak Ngah Syarif. Hanafi melihat dengan penuh minat tetapi tidak dapat berbual mesra dengannya kerana ia sedang sibuk melayan pelanggannya.

Pertemuan yang kedua – di titian Sungai Pantai Johor, Alor Star, Hanafi mengenali Pak Ngah Syarif sebagai seorang yang kacak, mukanya merah dan mempunyai mata yang tajam. Berlainan sangat dengan pendekar-pendekar handalan yang pernah ditemui sebelum itu. Melihat tingkah laku dan wajah Pak Ngah Syarif itu keinginannya untuk belajar ilmu kepahlawanan bertambah. Lebih-lebih lagi bila diketahuinya Pak Ngah Syarif bijak dengan ilmu perempuan. Ini jelas terbukti kerana beliau mempunyai ramai isteri di merata-rata tempat umpamanya di Negeri Kedah, Negeri Sembilan, Nikonsenitamrat ( Ligor ) dan di Bangkok.

Rumah Pak Ngah Syarif, Kubang Jelai, Tokai, Kedah.

Dalam usia yang begitu remaja diwaktu berumur sembilan belas tahun, dalam tahun 1942, Hanafi telah diserahkan oleh bapanya untuk belajar dengan Pak Ngah Syarif. Penyerahan bapanya itu menandakan bermulanya Hanafi mempelajari ilmu persilatan dan kebatinan. Pak Ngah Syarif begitu berminat untuk mengambil Hanafi sebagai anak angkat disamping belajar dengannya, kerana beliau memang berminat dengan keperibadian Hanafi yang degil, bijaksana dan keras hati itu, dimana sifat-sifat ini sesuai dengan ilmu yang diajarnya.

Diketika itu seseorang murid yang menuntut tidak dikenakan apa-apa bayaran. Cukup dengan memberi sumbangan tenaga disamping berkhidmat dengan guru tersebut. Buat prtama kalinya di rumah Pak Ngah Syarif, Hanafi telah menjadi orang suruhan, membuat kerja yang berat-berat seperti memotong kayu, turun ke sawah, mencangkul, menanam tebu dan sebagainya. Bagi Hanafi ini semua mesti dilakukan, asal mendapat apa yang dikehendaki itu. Dimasa-masa lapang, barulah Pak Nagah Syarif menhgajar ilmu silat iaitu Silat Sendeng dan asas-asas ilmu kebatinan.

Diwaktu belajar Hanafi didapati lebih cekap dan bijak dari kawan-kawan yang lain walaupun mereka dahulu belajar darinya. Kebijaksanaan Hanafi itu telah mendorong Pak Ngah Syarif mengajar Hanafi secara bersendirian.

Hanafi terpaksa menghadapi dugaan yang hebat dimasa belajar dengan Pak Ngah Syarif. Pernah Hanafi dimaki oleh Pak Ngah Syarif dihadapan orang ramai, sehingga keluar air mata jatuh kepiring kuih kerana terlalu malu. Bagi Pak Ngah Syarif segala tindakannya itu adalah bertujuan untuk menambahkan lagi keinginan Hanafi untuk belajar.

No comments:

Post a Comment