Friday, January 30, 2009

Pengalaman Sebagai Pegawai Zakat

Bergambar ramai semasa Pegawai Penyelia Zakat.
(Hanafi nombor lima berdiri dari kiri)

Setelah kalah pilihanraya tahun 1959 itu, Hanafi bersama keluarganya berpindah ke Lenggeng, Negeri Sembilan. Setelah berada selama satu setengah tahun di sana, akhirnya Hanafi suami isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil pulang ke Kedah setelah mendapati penghidupannya di sana, susah.

Sekembalinya ke Kedah pada tahun 1962, masalah loteri Kebajikan Masyarakat telah heboh diperkatakan orang di sana sini. Tengku Abdul Rahman telah menghalalkan loteri tersebut dibeli oleh orang ramai di negara ini. Dosa orang ramai yang membeli loteri itu akan ditanggungnya.

Hanafi dengan fahaman keugamaan yang benar-benar tulen menganggap perkara seperti ini perlu diperbetulkan bagi tujuan mengelakkan orang ramai dari melakukan perkara yang menyalahi hukum Islam. Sebagai penjual ubat Julap Abadi di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah, merupakan alat bagi Hanafi membenteras masalah loteri ini, melalui bersyarah di khalayak ramai, tanpa memikirkan sama ada Julap Abadinya laris atau tidak.

Hanafi juga tidak takut terhadap sebarang kemungkinan yang akan menimpa dirinya, sebab perkara yang dilakukan ini adalah merupakan hukum Tuhan dimana tidak seorang pun manusia yang boleh menghalangnya untuk berbuat demikian. Segala tindak tanduk dan ucapan itu telah mendapat perhatian dari pejabat Agama Islam Negeri Kedah.

Pada tahun 1963, Pejabat Ugama Islam Negeri Kedah telah membuat undang-undang Zakat dimana 100% pembayaran zakat diambil kesemuanya oleh Pejabat Agama. Bagi menjalankan tugas ini mereka memerlukan orang-orang yang berkebolehan untuk memberi penerangan. Setiausaha Hal Ehwal Zakat iaitu Haji Ahmad bin Haji Yasan telah melantik Hanafi menjadi Pegawai Penerangan Pejabat Zakat dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar 1.

Hanafi dilantik bekerja di Pejabat Zakat, atas beberapa muslihat tertentu. Pejabat Agama mendapati jika Hanafi ‘ bebas’ kedudukan Pejabat Ugama tergugat kerana di waktu itu Pejabat Ugama mempunyai banyak kelemahan dimana mengakibatkan hal ehwal ugama tidak dapat dijalankan dan ditadbirkan dengan baik. Dengan pengambilan Hanafi ini, sekurang-kurangnya kecaman-kecaman terhadap Pejabat Agama khasnya Pejabat Zakat, akan dapat dikurang akan dapat digunakan bagi menggerakkan jentera pentadbiran Pejabat tersebut, khususnya di bidang pungutan zakat.

Hanafi menyedari terhadap rancangan yang dilakukan oleh Setiausaha Hal Ehwal Zakat itu. Baginya ini merupakan satu peluang yang baik untuk berbakti kepada masyarakat dan menerangkan atau menjelaskan bahawa pembayaran zakat adalah diwajibkan dan juga Hanafi ingin mengatasi masalah kehidupannya anak beranak yang serba susah itu.

Sebagai Pegawai Penyelia Zakat Hanafi telah banyak memberi jasanya dimana ia telah melaksanakan tugasnya dengan tekun dan teratur. Hanafi telah pergi ke kampung-kampung untuk memungut zakat walaupun tempat itu tidak ada orang lain yang berani untuk memungut zakat, kerana di waktu-waktu lampau pegawai-pegawai zakat yang ditugaskan untuk memungut akan diugut dan diancam keselamatannya oleh penduduk-penduduk dalam kawasan itu.

Perkara-perkara itu tidak terjadi kepada beliau kerana orang-orang kampung telah memahami sikap Hanafi yang keras hati itu dan dan tidak mahu mengaku kalah. Hanafi juga ditugaskan untuk menentukan berapa banyakkah sukatan-sukatan yang diperlukan untuk berzakat. Setiausaha Zakat Haji Ahmad, sangat sayang kepadanya kerana didapati semenjak Hanafi bertugas banyak pembaharuan telah dilakukannya. Untuk menghargai kebolehannya itu Hanafi telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Setiausaha Zakat, Jajahan Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

Dalam menjalankan tugasnya dengan gigih, Hanafi terpaksa pula menghadapi berbagai-bagai tentangan. Rakan-rakan sejawatnya khuatir Hanafi akan dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Jawatan Kuasa Zakat seluruh negeri Kedah kerana Haji Ahmad, Setiausaha Zakat sangat sayang kepadanya. Haji Ahmad juga banyak menerima kecaman dan tentangan, dimana mereka telah mempersoalkan mengapa penjual ubat diambil bekerja di pejabat zakat.

Untuk menyekat kebolehan Hanafi dan menutup mulutnya mereka telah menawarkan sebuah rumah murah di No.42, Lorong 3, Jalan Day, Alor Setar, Kedah (kebetulan Hanafi memohon rumah itu) dengan syarat ia mesti masuk menjadi ahli UMNO.

Hanafi sedar pemberian rumah itu hanya sebagai umpan sahaja bagi menarik ia memasuki UMNO. Bagi memperolehi rumah tersebut Hanafi secara berpura-pura menyatakan ia akan menjadi ahli UMNO setelah permohonan untuk mendapatkan rumah itu diluluskan.

Setelah Hanafi menduduki rumah tersebut mereka mendapati Hanafi tidak juga menganggotai parti tersebut, hingga akhirnya Haji Ahmad (Setiausaha Zakat) sendiri memaksanya memasuki parti UMNO. Hanafi yang telah lama matang dalam soal politik tetap dengan pendiriannya. Ia tidak mahu lagi menganggotai sebarang parti politik kerana didapati tidak sesuai dengan jiwanya.

Setelah banyak menerima tentangan tanpa memikirkan jawatan dan kemudahan yang telah lama diperolehi sebagai Penolong Setiausaha Zakat setelah bertugas selama satu tahun empat bulan.

Perletakan jawatannya itu telah menyebabkan Hanafi dan keluarganya menerima cemuhan daripada masyarakat dan keluarganya sendiri. Ibunya tidak bersetuju Hanafi berhenti kerja itu kerana khuatir kehidupannya di masa hadapan. Adik beradiknya yang lain juga menasihatkannya supaya menjadi ahli UMNO bagi mengelakkan tentangan yang diterimanya.

Bagi masyarakat di sekitarnya, mereka merasa bersyukur dan berpendapat memang patut Hanafi diberhentikan kerana kesombongannya, hingga dikatakan seluruh masyarakatnya telah memandang rendah terhadap Hanafi yang di ketika itu telah tidak ada pergantungan hidup.

No comments:

Post a Comment