Sunday, February 1, 2009

Tentangan Dari Yahya Said

Yahya sekarang telah mulai sedar tentang perhatian orang ramai terhadap Silat Cekak. Yahya mulai iri hati terhadap kejayaan Hanafi didalam usaha mengembangkan Silat Cekak ini. Orang ramai dan penuntut Cekak lebih mengenali Hanafi dari dirinya sendiri. Perasaan tidak puas hati bertambah lagi apabila Hanafi berjaya membuka sebuah kelas lagi di rumah Osman Ahmad di Teluk Wan Jala, Kedah, pada tahun 1966.

Yahya mula memainkan peranannya menghasut penuntut Silat Cekak supaya berpecah belah dan menentang Hanafi dengan tujuan supaya ia mendapat perhatian dan sokongan dan dapat menggantikan Hanafi. Adalah dipercayai Yahya juga telah dihasut oleh sebuah parti politik untuk bergerak sendiri tanpa Hanafi. Osman Ahmad dijadikan alat oleh badan politik itu untuk mengatur rancangan dengan Yahya Said.

Hanafi telah lama masak dengan peribadi Yahya Said dahulu, telah menjangka perkara ini akan berlaku kerana Yahya Said mementingkan diri sendiri sahaja. Hanafi berpendapat setelah Yahya menyerahkan warisan Tok Rashid maka selesailah peranan Yahya didalam pengembangan Silat Cekak ini. Yahya mengambil keputusan untuk menarik diri dari PSSBSK dan menjalankan kegiatan silat secara bersendirian tanpa naungan PSSBSK. Perkara ini dialu-alukan oleh Hanafi, kerana ini memang telah diduganya.

Sebenarnya Yahya telah lupa dengan janji yang dilafazkan ketika mula-mula melahirkan Silat Cekak dihadapan Hanafi dan penuntut yang lain, “Ambillah balik hak datuk nenek hampa orang Kedah, aku tak cari makan dengan silat”.

Janji yang diucapkan tidak ditepati setelah melihat kejayan. Ini membuktikan Yahya bukanlah orang yang jujur. Selepas tamat kelas di rumah Osman Ahmad, Yahya Said, telah menubuhkan Silat Kalimah dan mengajar silat ini tanpa apa-apa hubungan dengan Hanafi dan PSSBSK. Sistem pelajarannya adalah berdasarkan kepada sistem Silat Cekak tetapi Yahya telah banyak membuat pindaan terhadap buah-buah yang diajar dan menyembunyikan pelajaran-pelajaran rahsia yang pernah diajarnya kepada Hanafi dahulu.

Jelas ternyata setelah beberapa lama menjalankan kegiatannya orang ramai tidak memberi sambutan sepertimana yang disangkakan. Perkara ini berlaku sebagaimana yang telah teryata Yahya sebagai pemegang amanah sahaja, jadi apa yang diajarnya setelah menunaikan tanggungjawabnya tidak diberkati. Akhirnya ia pulang ke kampungnya di Batu Kurau, Taiping Perak, pada tahun 1966.

Yahya sebagai seorang bekas polis dan penjual ubat tidak mempunyai kebolehan didalam usaha untuk mengendalikan pergerakan persatuan, juga tidak berkebolehan dari segi penyampaian melalui berceramah dan mengajar. Tegaknya Silat Cekak kerana keupayaan Hanafi mengatur sistem pelajaran yang sesuai supaya mudah di terima dan melalui kepintarannya memberi ceramah.

Yahya sedikitpun tidak mempunyai suatu cita-cita di dalam mengembangkan Silat Kalimahnya. Matlamatnya hanyalah untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dari kegiatannya disamping menggunakan Silat Kalimah menghalang kegiatan Hanafi. Bagi mereka yang faham tentang kegiatan Silat Cekak menganggap Yahya Said sebagai penyeleweng dan pengkhianat.

No comments:

Post a Comment