Sunday, February 15, 2009

Pengaruh Hanafi Dalam Mengembangkan Silat Cekak

Dalam mengembangkan Silat Cekaknya, Hanafi mempunyai pengaruh yang luas ke atas anak-anak muridnya. Hanafi selaku presiden dan guru utama PSSCM sentiasa menjaga peribadinya supaya dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muridnya. Hanafi sejak dari muda menjauhkan dirinya dari melakukan perbuatan–perbuatan maksiat. Hanafi tidak minum minuman keras, berjudi, berperempuan, sentiasa menepati janji dan tidak bercakap bohong, di samping pendiriannya yang tegas, berani dan tidak mahu mengaku kalah.

Hanafi mengajar silat, bukan kerana silat semata- mata, tetapi bertujuan juga untuk membimbing belia-belia ke jalan yang benar di sisi agama Islam dan undang-undang negara. Ceramah-ceramah ugama yang diberikan dan fahaman keagamaan yang diberikan secara tidak langsung telah dapat megubah corak hidup segolongan anak-anak muridnya.

Pelajaran silat yang diberikan oleh Hanafi, tidak ada beza membeza. Tiada yang berpangkat dilantik menjadi jurulatih dan diberi palajaran yang lebih, manakala yang tidak berpangkat, diberi pelajaran yang sedikit dan tidak dilantik menjadi jurulatih. Perlantikan jurulatih adalah berdasarkan kepada:

a. Penuntut yang telah tamat dan mahir di dalam silat ini
b. Menghargai dan mencintai silat ini melalui PSSCM
c. Sanggup berkorban kerana persatuannya dan
d. Mempunyai peribadi yang baik

Pergaulan Hanafi dengan anak-anak muridnya juga tiada tingkat taraf, sama ada ia seorang pekerja biasa, mahasiswa atau pegawai tinggi. Semuanya dianggap sebagai penuntut-penuntutnya. Hanafi tidak memberi layanan yang istimewa kepada pegawai-pegawai tinggi yang mempelajari silat ini ataupun memandang hina kepada yang miskin.

Kebijaksanaan Hanafi memimpin silat ini menyebabkan ramai di antara penuntut-penuntutnya menghormati beliau dan sama-sama membantu mengembangkan Silat Cekak ini. Bagi mereka yang telah mempelajari silat ini berasa bersyukur kerana dapat mempelajri silat ini dan mendampingi Hanafi untuk mendapatkan ‘rahsia kebatinan’ Hanafi.

Umpamanya bagi Amruddin bin Buang, Penolong Pegawai Daerah Petaling, beliau berpendapat Hanafi seorang yang tegas, pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan, kemas dan teliti dalam sebarang hal. Ceramah-ceramah agama yang didengarnya, lengkap dengan alasannya, memenuhi kehendak rahsia-rahsia agama hingga dapat mengenal antara kawan dan lawan, dapat membezakan dan menganalisa hal ehwal dunia dan masyarakat dan cara-cara mempengaruhi berbagai-bagai jenis masyarakat. Beliau juga telah merasakan dirinya lebih ‘confident’ dan “optimist’ di dalam hidup ini.

Ahmad Rathuan pula merasa bersyukur dan puas hati dapat mempelajari Silat Cekak dan mendampingi Hanafi kerana ia mempunyai prinsip-prinsip hidup tersendiri dan ia tetap tegas akan apa yang difahaminya. Bagi Amrahi Buang, mahasiswa tahun ketiga USM, berpendapat,“ memang susah hendak mencari guru, seperti guru utama ini. Di dalam perhubungannya dengan anak muridnya, saya dapati bahawa ia suka mendampingkan dirinya dengan anak-anak muridnya agar ia dapat menanamkan semangat dan fahamannya.”

Beliau menambah, “memang tidak dapat disangkalkan bahawa saya telah mengalami banyak perubahan bukan sahaja dari segi rohani bahkan dari segi jasmani. Saya dapati bahawa silat ini telah memahamkan saya di dalam segi tauhid dan lain-lain unsur ugama. Juga saya dapati bahawa saya telah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat umum.”

Bagi Maideen bin Kadir Shah, berpendapat, “setelah saya berdamping dengan guru utama, baru saya tahu dan kenal bahawa beliau seorang yang warak, mempunyai peribadi yang tinggi dan pergaulan yang sangat mesra dengan anak-anak muridnya.”

Bagi Megat Adlan bin Megat said Ketua Pegawai Penyelidik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, beliau telah dapat merasakan adanya perubahan peribadinya setelah mendampingi Hanafi dan mempelajari Silat Cekak, beliau berpendapat, “ceramah-ceramah agama yang saya dengar telah memberikan ketenteraman fikiran dan saya lebih yakin dalam kehidupan.”

Begitu juga bagi anak-anak murid Hanafi yang lain. Semuanya berpuas hati dan dapat merasakan perubahan pada diri mereka sendiri. Mereka menjadi lebih "confident" dan keyakianan ini berlipatganda setelah mendengar ceramah-ceramah agama dan mendapingi Hanafi. Dengan ini tidaklah hairan, mereka sentiasa mendampingi Hanafi untuk memperolehi rahsia kebatinan Hanafi supaya dapat menjadi insan yang sebenarnya. Dengan ini mereka akan sentiasa juga berusaha bersama-sama menaikkan nama Silat Cekak hingga terkenal seluruh negara.

No comments:

Post a Comment