Friday, January 30, 2009

Penderitaan Yang Serius

Setelah berhenti daripada menjual apam balik, Hanafi pulang semua ke kampung ibunya di Kedah tinggal semula bersama-sama anak isterinya kerana ia telah menjual rumahnya di Jalan Day. Semua pekerjaan yang dilakukannya tidak mendatangkan hasil, walaupun berbagai-bagai usaha telah dilakukannya. Disaat inilah Hanafi mengalami penderitaan sehabis pahit yang pernah dialaminya walaupun dahulu ia pernah merasa susah kerana masyarakat sekelilingnya, adik-beradik, ibunya sendiri tidak menyukai sekeluarga.

Adiknya pernah menyatakan kepada Hanafi, “Ini bukan Post Office” bila datang meminjam wang. Ibunya pernah menyatakan kepada Hanafi, “Kalau tidak ada duit, jangan beri anak mengaji” bila Hanafi meminta meminjam wang untuk menyekolahkan anaknya.

Ibu dan adik-beradiknya bersikap demikian, kerana Hanafi tidak mahu mendengar nasihat mereka supaya jangan berhenti daripada Pejabat Zakat dan supaya menjadi ahli UMNO sahaja supaya kehidupannya terjamin. Kebencian mereka kepada Hanafi memuncak lagi, kerana sudahlah miskin, anak ramai, tidak mahu mendengar mereka, malah keras hati pula. Hanafi tetap tegas, tidak mengharap bantuan ibu dan adik-beradiknya, kerana mereka tidak menyukainya.

Isteri Hanafi, Mak Teh juga tidak ketinggalan menerima cemuhan. Ia selalu disindir-sindir dan kadang-kadang jirannya serta adik beradik perempuan Hanafi yang lain, menunjukkan barang kemas mereka padahal mereka tahu semayam emas pun tidak ada padanya. Mereka juga menunjuk-nunjuk barang yang baru dibeli selepas balik membeli belah.

Mak Teh, walau bagaimanapun tidak berkecil hati, malah menganggapnya hanya sebagai dugaan tuhan. Ia mengambil upah mencucuk atap untuk perbelanjaan harian. Bila ada kenduri-kendara di kampungnya, ia tidak dijemput, kalau dijemput pun, ia tidak pergi kerana ia tiada barang kemas, kerana akan menjadi ejekan hadirin sahaja.

Bagi Hanafi, ia tetap bersabar dengan dugaan tuhan ini. Walau bagaimanapun Hanafi mendapat simpati dari kawan baiknya, seperti Hussein Ahmad dan Abu Bakar dari Anak Bukit yang selalu memberi bantuan seringgit dua, kerana mereka pun susah juga.

Hanafi selalu menasihatkan isterinya supaya bersabar dan meyakinkan kepadanya satu hari kelak mereka akan mendapat kesenangan juga. Ia menyatakan kepada isterinya, “Kesenangan itu hanya dapat dikecapi setelah menghadapi kesusahan dahulu”, sebagai tujuan untuk menghiburkan hati isterinya supaya bersabar menghadapi dugaan.

Dengan fahaman kebatinan yang telah ada Hanafi pernah bermunajad kepada Tuhan disaat ini, hingga terbit kata-kata dari mulutnya “Hanya aku dan Tuhanku sahaja didunia ini” kerana ramai yang membencinya.

Bagi menguatkan lagi kesabarannya menghadapi cabaran ini, Hanafi sentiasa mengingati nasihat gurunya, Haji Zain yang pernah mengatakan, “Biar hilang duit, hilang pangkat, asal jangan hilang akal ”, Hanafi bersyukur kepada Allah, disaat itu ia tidak sampai sasau, gila, merompak, membunuh atau hilang akal untuk memikirkan masalah hidupnya. Hanafi dengan akal yang masih boleh berfikir dengan tenang tetap berusaha mengatasi masalah hidupnya.

No comments:

Post a Comment