Tuesday, March 31, 2009

Pengijazahan Pertama & Sistem Pelajaran Seni Silat Cekak

Pelajaran Silat Cekak terbahagi kepada lapan bahagian, dan terdapat tiga kali ‘ijazah’.

Ijazah Pertama

Penuntut-penuntut baru diminta membawa 2½ ela kain putih. Kain putih ini melambangkan kebersihan, kesucian dan keikhlasan hati penuntut-penuntut dalam mempelajari silat ini. Di zaman dahulu kain putih bermaksud sebagai kain kapan untuk mengapankan penuntut-penuntut yang derhaka kepada guru. Penuntut-penuntut juga diminta membawa pengeras sebanyak $15.30¢.

Upacara ini dimulakan dimana guru dan penuntut-penuntut baru bersalaman di atas kain-kain putih yang telah dibentangkan dan penuntut akan mengangkat sumpah dengan nama Allah tidak akan melanggar perjanjian atau syarat-syarat Silat Cekak yang telah ditetapkan. Sebenarnya upacara pengijazahan pertama ini adalah untuk menghubungkan antara murid dengan guru secara ikhlas dan jujur.

Setelah ini kain putih diambil kembali oleh penuntut-penuntut untuk dijadikan cadar tidur selama tiga malam berturut-turut supaya mendapat ‘alamat’ tertentu. Selepas tiga hari kain putih ini akan diserahkan kepada guru untuk disimpan.

Selepas ijazah pertama ini barulah penuntut-penuntut baru diajar dengan kaedah pelajaran Silat Cekak iaitu:

  • Kaedah A, B, C dan D. Empat pergerakan di tangan kanan dan empat pergerakan di tangan kiri (kaki tidak bergerak), berdiri lurus seperti berdiri waktu sembahyang (tidak berdiri berkuda-kuda), supaya sentiasa bersedia untuk menunggu serangan dari hadapan, kiri, kanan mahupun belakang. Dengan berdiri lurus juga musuh tidak mengenali seseorang itu bersiap sedia untuk bergaduh.Buah-buah dasar (basic) sambungan daripada kaedah A, B, C dan D, dilatih bergerak sekali tangan dan kaki.

  • Buah-buah pecahan atau buah-buah anak sambungan daripada buah-buah dasar pelajaran yang kedua. Dengan buah-buah pecahan inilah untuk mempertahankan keselamatan daripada segala rupa serangan.
Buah-buah dasar dan pecahan ini adalah buah-buah segala ilmu keputusan seluruh silat-silat Melayu di Alam Melayu seperti keputusan Sendeng, Gayong Patani, Silat Harimau, Kuntau, Terlak, Lintau, Pasong Kemanga dan Sepelet. Kajian mempelajari kesemua keputusan ini supaya ahli-ahli Silat Cekak dapat menangkis dengan mudah pertarungan, walaupun lawannya menggunakan cara silat apa sekali pun.

Buah-buah Silat Cekak ialah:
  1. Buah Pertama (Buah Cekak)
  2. Keputusan Gayong Patani (daripada Gayong Patani)
  3. Keputusan Sendeng Atas (daripada Sendeng)
  4. Buah Hentak (daripada Silat Harimau)
  5. Buah Kilas Belakang (Buah Cekak)
  6. Buah Kidung Kiri (Buah Cekak)
  7. Buah Kilas Hadapan (Buah Cekak)
  8. Buah Kidung Kanan (Buah Cekak)
  9. Buah Kuntau Kiri (Buah Cekak)
  10. Buah Kuntau Kanan (Buah Cekak)
  11. Buah Paras (Buah Cekak)
  12. Buah Selendang (Buah Cekak)
  13. Buah Ali Patah Atas (Buah Cekak)
  14. Buah Ali Patah Sudah (Buah Cekak)
  15. Keputusan Silat Terlak (daripada Terlak)
  16. Keputusan Lintau (daripada Lintau)
  17. Keputusan Sendeng Bawah (daripada Sendeng)
  18. Buah Pasong Kemanga (daripada Silat Kemanga)
  19. Buah Sengkak (Buah Cekak)
  20. Buah Empuk (Buah Cekak)
  21. Buah Siku Potong (Buah Cekak)