Tuesday, February 3, 2009

Tentangan Dari Anak Murid Di Kuala Lumpur

Bagi membantunya mengajar silat Hanafi secara peribadi telah melatih Mohamad bin Abdullah menjadi jurulatihnya. Lantikan ini dibuat kerana ia mempunyai kebolehan dan kecenderungan terhadap silat cekak.

Pada mulanya Mohamad telah menjalankan tugasnya dengan baik dan sempurna, tetapi dengan sedikit pengaruh yang diperolehi dari penuntut-penuntut yang belajar di ketika itu, telah mendorongnya untuk mengendalikan kegiatan Silat Cekak secara bersendirian.

Langkah pertama yang diambilnya ialah dengan cara menghasut penuntut-penuntut silat supaya timbul perpecahan dan tidak mempercayai Hanafi. Untuk tujuan yang sama Mohammad cuba menjatuhkan Hanafi di tempat latihan di kelas Kampung Bharu sewaktu Hanafi menunjukkan buah-buah silat. Kegagalannya di peringkat awal ini telah menyebabkan ia menjalankan polisi berbaik-baik dengan Hanafi.

Mohammad telah mempelawa Hanafi tinggal bersamanya. Perlawanaan ini disetujui kerana Hanafi ingin mengetahui lebih dekat lagi latar belakangnya. Walaubagaimanapun Hanafi tetap berwaspada dengan tingkah laku Mohammad.

Hanafi telah tinggal bersama Mohammad dan isterinya bernama Lijah, dan kawan isterinya bernama Rubiah dimana kedua-duanya telah mempelajari Silat Cekak dari Hanafi.

Sebagai suatu dasar untuk menyekat pengaruh Mohammad dan untuk memperbaiki mutu di dalam mengajar, Hanafi telah melantik Amruddin bin Buang dan Malino bin Junsi. Kedua-duanya berumur 21 tahun dan masih muda, untuk menjadi jurulatih di samping Mohammad.

Tindakan Hanafi ini telah menimbulkan kemarahan Mohammad di mana ia pernah berkata kepada Hanafi secara terus terang, “Mereka itu tidak layak mengajar silat kerana masih mentah dan kurang kebolehan, dari segi kesetiaannya belum lagi dapat dipastikan.”

Hanafi menjawab,”Jika tidak berkebolehan aku boleh mengajar hingga pandai.” Dari sini Hanafi telah mengetahui ketidakjujuran Mohammad terhadapnya dan polisi yang dilakukan oleh Hanafi ini memang menyakitkan hati Mohamad.

Mohamad bertambah tidak puas hati, dan ia cuba menimbulkan perselisihan faham antara Silat Cekak dengan Silat Lincah melalui mencaci penuntut-penutut silat tersebut yang sedang berlatih di gelanggang mereka. Perbuatannya itu telah menyebabkan Hanafi menerima cabaran untuk bertarung dari Mahaguru Silat Lincah, Omar Din.

Keputusan telah dibuat untuk bertarung setelah Hanafi, menemui Omar Din 6 bulan kemudian. Dalam pertemuan itu pada mulanya Omar Din enggan untuk menyetujui tetapi Hanafi tetap juga berkeras dan menerima cabaran yang pernah disuarakan oleh Omar Din itu. Tempat pertarungan ialah di Dewan Belia Kampung Pandan pada 26hb Februari 1972 dan permit dari polis juga telah diperolehi.

Di saat-saat pertarungan hampir tiba, polis telah membatalkan permit dan penuntut-penuntut kedua-dua persatuan silat dan penuntun diminta bersurai. Pembatalan ini dilakukan atas daya usaha Hussein bin Ahmad. Hussein tahu bahawa pertarungan itu akan mengakibatkan suatu keadaan buruk berlaku kerana Hanafi bukan sembarangan orang untuk dilawan dan peristiwa itu akan menjejaskan masa hadapan PSSCM.

Hanafi tidak mengambil sebarang tindakan di atas kesalahan Mohammad kerana ia ingin melihat setakat mana peranan yang dapat dilakukan oleh Mohammad. Hubungan berbaik-baik tetap dilakukan.

Lijah, isteri Mohammad pula mempunyai rancangan yang berlainan, ia bercita-cita untuk mempersuamikan Hanafi. Mohamad meyokong rancangan Lijah dan membiarkannya berbaik-baik denan Hanafi. Rancangan mereka gagal kerana telah disedari lebih awal oleh Hanafi dan akhirnya Hanafi telah menyewa sebuah rumah di Jalan Hamzah, Kampung Bharu, Kuala Lumpur, tidak lagi tinggal di rumah Mohammad.

Mohamad masih lagi mahu mencuba untuk menguasai teraju PSSCM. Langkah selanjutnya ia telah menjalankan suatu pakatan dengan Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang, mereka telah sepakat untuk menjatuhkan maruah Hanafi. Osman telah menyuruh isterinya melakukan perkara sumbang ketika Hanafi sedang tidur nyenyak di biliknya.

Pada suatu malam, Mohammad dan isterinya sebagai juru gambar untuk membuktikan peristiwa yang akan berlaku. Gambar-gambar itu kelak akan dijadikan suatu alat untuk mengugut Hanafi supaya menyerahkan wang sejumlah $500 kepada Osman dan keluar dari Kula Lumpur, jika tidak rahsia akan dibocorkan.

Hanafi dengan sikap yang tidak mahu tunduk dengan ugutan sesiapa telah membawa perkara itu kepada penfetahuan pihak polis. Tindakan pemeriksaan oleh doktor telah dilakukan kepada isteri Osman dan didapati perempuan tersebut memanglah seorang pelacur.

Berikutan dengan itu, Mohammad pula telah menuduh Hanafi berlaku curang pula kepada Lijah dan setiap kecurangan ada dicatitkan di buku catitannya. Murid-murid Hanafi mulai mencurigai terhadap sikap Hanafi tetapi setelah mengetahui perkara itu fitnah semata-mata mereka telah bersimpati dengan Hanafi.

Kegagalan demi kegagalan yang dihadapi oleh Mohammad mengecewakannya untuk menonjolkan diri sebagai jaguh di dalam pergerakan Silat Cekak. Dari cubaannya yang dilakukan itu sangat jelas memperlihatkan bagaimana Mohammad cuba memecahbelahkan perpaduan penuntut-penuntut dan berusaha beberapa kali untuk menghilangkan kepercayaan penuntut terhadap Hanafi sebagai pendukung utama Silat Cekak.

Pengetahuan silat yang pernah diperolehi dari Hanafi itu dijangkanya sudah cukup untuk mengatasi Hanafi tanpa memperhitungkan kebolehan yang ada pada Hanafi. Kemuncak percubaannya, ia mahu Hanafi meninggalkan Kuala Lumpur dan di suatu ketika pernah mengasah parang untuk membunuh Hanafi malahan pernah mempengaruhi penuntut Silat Cekak benama Hamzah untuk membunuh secara curi dengan kerambit ketika Hanafi sedang minum.

Osman pula seorang yang biasa dibantu oleh Hanafi dari segi kewangan dan tempat tinggal, kerana tamak dan inginkan wang yang lebih telah cubaan pula memeras ugut. Walaupun pakatan telah dibuat dengan Mohammad tetapi usahanya tetap gagal.

Tambi Beranang sebagai seorang tokoh lama di Kuala Lumpur yang mempunyai pengaruh yang meluas dikalangan anak-anak muda di Kuala Lumpur mencurigai segala kegiatan Hanafi sejak kedatangannya ke Kuala Lumpur, turut berusaha untuk menghilangkan kuasa dan pengaruh Hanafi. Pernah mengugut Hanafi supaya keluar dari Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam jika tidak dia akan membunuh Hanafi, tetapi rancangannya tetap gagal.

Ekoran dari tindakan–tindakan yang dilakukan oleh Mohammad yang telah banyak menjejaskan pergerakan persatuan. Hanafi telah mengambil tindakan tidak membenarkan ia mencampuri hal ehwal persatuan dan Hanafi telah mengakui Mohammad sebagai muridnya.

Begitu juga nasib yang diterima oleh Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang uang dianggap sebagai penyokong kuat Mohammad. Hanafi membuat tindakan sedemikian itu setelah banyak memberi peluang kepada mereka untuk memperbetulkan kesalahan yang pernah dilakukan.

No comments:

Post a Comment