Saturday, January 31, 2009

Pertemuan Hanafi Dengan Yahya Said

Yahya Said
Pemegang amanah Seni Silat Cekak


Setelah berhenti dari menjual apam balik, Hanafi telah hidup didalam keadaan serba kepayahan, tidak ada jalan yang sesuai dengan jiwanya diwaktu itu untuk dilakukan bagi memenuhi lapangan hidupnya. Hanya satu jalan yang dianggap bersesuaian dengan jiwanya iaitu melalui bergiat dilapangan persilatan Melayu.

Tumpuan Hanafi untuk bergiat dilapangan ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Hanafi mendapat tahu Yahya Said seorang sahabat lamanya yang pernah ditemuinya pada tahu 1946 di Baling Kedah, sedang berada di Alor Star kerana menjual ubat ketika itu. Hanafi memang tahu Yahya Said ada mempunyai sejenis silat Melayu yang bernilai tinggi dan sukar ditandingi mutunya oleh silat-silat Melayu ditanahair ini.

Hanafi percaya kalau silat ini dapat dilahirkan kembali, masyarakat Melayu akan mempunyai sejenis silat yang bermutu tinggi. Sekurang-kurangnya dengan mengembangkan silat ini kelak Hanafi akan dapat berjuang menegakkan hak orang Melayu kembali melalui bidang kebudayaan iaitu dalam bidang persilatan, kerana pada pendapat Hanafi banyak silat-silat Melayu telah hilang keasliannya akibat dipengaruhi oleh budaya luar negeri. Tambahan pula orang-orang Melayu lebih berminat dengan ilmu pertahanan diri luar negeri.

Dalam pertemuan pertama kali pada bulan Disember 1965 selepas lama berpisah itu, Hanafi telah berbual panjang dengan Yahya Said atas tajuk silat yang dimilikinya itu. Melalui perbualan itu Hanafi mendapat tahu bahawa Yahya telah memiliki silat itu selama 40 tahun. Dalam tempoh itu Yahya pernah mengajar silat itu kepada orang lain seperti anaknya sendiri yang bernama Mansur tetapi tidak seorang pun yang dapat menamatkan pelajarannya. Ini disebabkan penuntut-penuntut itu merasakan pelajaran yang dipelajarinya itu telah cukup, kerana dua atau tiga buah yang diajar sudah dapat mempertahankan diri.

Dalam perbualan itu Yahya dengan terus terang menyatakan kekuatirannya tehadap siapakah yang akan mewariskan silat ini kerana umurnya di ketika itu telah menjangkau 64 tahun dan selama tempoh 40 tahun ia mengajar silat ini tidak seorang pun yang tamat, kerana mengikutnya orang Melayu tidak berminat dengan silat. Hanafi secara terus terang berkata, “Mengapa Pak Yah bodoh, badan besar bodoh, biasanya patah tumbuh hilang berganti tetapi Pak Yah patah tumbuh, hilang tak berganti. Bukan orang Melayu tak mau belajar tapi Pak Yah bodoh!”.

Kata-kata Hanafi itu telah menimbulkan kemarahan Yahya. Secara tidak disedari Yahya mencabar Hanafi supaya mempelajari silat ini. Hanafi menyambut cabaran ini dengan senang hati, dan menyuruh Yahya mengajar silat ini hingga boleh menjadi guru.

Sebenarnya Hanafi sejak dahulu memang berminat untuk mempelajari silat yang dimiliki oleh Yahya itu tetapi kerana peribadi Yahya yang tidak secucuk dengannya, membuatkan Hanafi mematikan sahaja minatnya. Tetapi setelah berumur 43 tahun, fikiran telah matang, soal peribadi Yahya Said adalah soal lain, tetapi ilmu yang dimilikinya itu lebih penting untuk dipelajari dan untuk diketengahkan. Dalam pertemuan itu Hanafi sengaja menimbulkan kemarahan Yahya supaya mencabarnya mempelajari Silat Cekak.

No comments:

Post a Comment