Monday, February 2, 2009

Hijrah ke Kuala Lumpur

Hanafi masih tidak puas hati dengan penerimaan masyarakat Kedah terhadap konsep silat yang dibawanya itu. Sudah hampir lima tahun beliau dan rakan-rakan yang setia bertungkus lumus dengan menempuh berbagai rintangan dan dugaan yang pahit semata-mata untuk mencapai matlamatnya, tetapi hanya segelintir manusia menghargai usaha-usahanya itu. Walau bagaimanapun Hanafi percaya benih yang disemaikan itu akan cambah dengan suburnya di suatu masa kelak iaitu apabila masyarakat yang masih berfahaman lama dapat menilaikannya.

Dalam tempoh perkembangan awal ini Hanafi terpaksa menembusi tembok kepercayaan dan fahaman lama yang masih dipegang kuat oleh masyarakat Melayu di negerinya. Masyarakatnya juga tidak sebegitu mudah menerima konsep tersebut kerana didapati jauh berbeza dengan konsep silat yang biasa diamalkan oleh mereka. Anggapan terhadap sistem pelajaran Silat Cekak yang diamalkan tanpa berkuda-kuda itu sewaktu menunggu serangan, tidak berbunga-bunga, langkah melangkah itu adalah menyalahi amalan biasa persilatan Melayu. Bagi mereka yang telah mempelajari dan mengakui kebenaran sahaja yang menyatakan Silat Cekak benar-benar asli dan sangat tinggi mutunya.

Masyarakatnya juga masih tidak faham apakah tujuan dan matlamat Hanafi bertungkus lumus memperkenalkan Silat Cekak. Mereka tidak sedar bahawa Hanafi sedang berusaha untuk membela nasib silat Melayu yang selama ini dipandang rendah supaya dipandang tinggi dan memimpin belia-belia ke jalan yang benar. Hanya mereka yang mendampingi Hanafi sahaja yang tahu ke arah manakah perjuangan Hanafi.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut Hanafi percaya jika dilipatgandakan usaha, sekalipun Silat Cekak tidak akan dapat berkembang dengan pesat di tempatnya. Untuk mencapai matlamat dan tujuan sepenuhnya, pergerakan Silat Cekak perlu diubah ke kawasan lain di mana masyarakat dapat memberi penilaian. Hanafi mengambil keputusan untuk mengembangkan Silat Cekak di Kuala Lumpur sebagai tapak baru bagi mengembangkan Silat Cekak ke seluruh negara, walaupun ada di anatra rakan-rakannya yang lain tetap tidak meyakini Hanafi akan beroleh kejayaan.

No comments:

Post a Comment