Monday, January 26, 2009

Belajar Menjual Ubat

Dari melakukan kerja-kerja di rumah Hanafi mengikut Pak Ngah Syarif merantau sambil menjual ubat. Dan dari sinilah Hanafi mula menaruh minat untuk merantau. Hanafi telah mula mengenali ramai sahabat handai Pak Ngah Syarif dan Hanafi ditugaskan untuk membawa beg ubat Pak Ngah Syarif. Akhirnya Hanafi faham cara-cara menjual ubat dan Bermain Silap Mata. Hanafi mula bersendirian menjual ubat. Segala tenaga yang dicurahkan untuk melariskan semua ubat-ubatan yang dijual adalah semata-mata untuk kepentingan gurunya.

Semasa tinggal dengan Pak Ngah Syarif, Hanafi telah banyak memperolehi berbagai ilmu dari Pak Ngah Syarif. Ini termasuk ilmu kepahlawanan, keperempuanan, kebatinan, ubat-ubat dan silap mata. Hanafi juga telah diajar oleh Pak Ngah Syarif membuat sejenis julab yang sangat berguna besar kepada kesihatan anggota manusia. Sewaktu beliau menerima pelajaran-pelajaran ini Pak Ngah Syarif mengingatkan Hanafi supaya merahsiakan benar-benar ilmu tersebut terutamanya ilmu kebatinan dari diajar atau diketahui orang.

Hanafi masih lagi meragui terhadap ilmu kebatinan Pak Ngah Syarif sungguh pun telah lama mengamalkannya. Suatu hari dengan kehendak Allah, ketika Hanafi membantu gurunya menjual ubat di Langgar Kedah, satu perselisihan faham antara Hanafi dengan penghulu Langgar, bernama Penghulu Saad. Hanafi diancam dengan senjata oleh panglimanya Ismail Awang yang tinggal di Teluk Jamar, Kedah.

Tindakan Ismail telah menimbulkan kemarahan Hanafi hinngga menerbitkan kata-kata dari mulutnya, “ Kau nak bunuh aku, kau dulu mati daripada aku ”.

Tujuh hari kemudian cakap Hanafi menjadi kenyataan, Panglima tersebut mati setelah muntah-muntah darah tidak berhenti-henti. Peristiwa itu telah menggempar penduduk-penduduk di kawasan itu, mereka mengatakan Hanafi boleh mematikan orang-orang yang menentangnya. Dengan ini Hanafi mula menyakini akan pengajaran kebatinan yang diberikan oleh Pak gah Syarif, jika diamalkan dengan betul.

Asas pendidikan kebatinan yang diajarkan oleh Pak Ngah Syarif telah banyak membawa perubahan corak hidup Hanafi. Dari segi pemikiran Hanafi tidak sama seperti anak-anak kampung lain dan tidak juga seperti ibu bapanya yang menumpukan bidang kehidupan terhadap sawah dan kerja-kerja kampung.

Hanafi menyedari kerja-kerja di kampung banyak menggunakan tenaga sedangkan hasilnya tidak seberapa, jauh sekali untuk menjadi kaya, bak kata orang Kedah “ Dok takuk tu jugak ”. Hanafi lebih suka merantau, menjual ubat, dari satu tempat kesatu tempat yang lain.

Dari pendidikan yang diberikan oleh Pak Ngah Syarif, Hanafi menyedari sesuatu ilmu rahsia atau ilmu yang baik mestilah diperolehi setelah mengharungi berbagai-bagai dugaan yang pahit. Itulah sebab Hanafi tidak berminat untuk mengajar atau menunjul-nunjulkan setiap ilmu yang dipelajari. Beliau juga sedar ilmu yang baik-baik hanya dipunyai oleh orang-orang tertentu sahaja.

Walaupun Hanafi diketika itu telah banyak mempelajari ilmu dari Pak Ngah Syarif, tetapi ia masih tidak berpuas hati. Umpamanya ilmu silat yang diajar oleh Pak Ngah Syarif tidak tamat, kerana Pak Ngah Syarif berpendapat bukannya untuk menjadi guru. Apa yang sudah diajarnya sudah cukup untuk menjaga diri. Dari segi pendidikan Pak Ngah Syarif langsung tidak tahu psikologi pendidikan yang baik.

Pendidikan yang disampaikan oleh Pak Ngah Syarif secara kekerasan, tanpa memikirkan sama ada penuntut-penuntut dapat menerimanya atau tidak. Ini berpunca dari Pak Ngah Syarif sendiri yang befikiran cara lama. Sungguh pun ia seorang ahli perantau dan penjual ubat tetapi ia tidak bijak dari segi perekonomian kerana setelah sekian lama ia bertungkus lumus tidak ada harta yang ditinggalkan. Hanafi juga tidak bersetuju dengan sikap Pak Ngah Syarif yang suka berkahwin ramai, sebab tanggungjawab sepenuhnya tidak dapat diberikan.

Pak Ngah Syarif hanya berkemampuan untuk mengajar asas kebatinan sahaja tetapi tidak sampai keperdu, jadi Hanafi ingin memperolehi kesimpulan ilmu kebatinan. Ia ingin memperolehi seorang guru yang dapat memenuhi kehendak jiwanya.

Setelah belajar selama tiga tahun dengan Pak Ngah Syarif pada tahun 1945, Hanafi dengan ilmu yang ada mula merantau kepelusuk tanahair menjual ubat, sambil mencari guru yang dapat memutuskan fahaman kebatinan. Dalam tempoh perantauannya itu Hanafi dapat berjumpa dengan beberapa orang mashur antaranya Chek Salleh bin Haji Abdul Rahman Limbung, murid Said Abdul Rahman, Paluoh, Terengganu yang mashur kerana alim. Berjumpa di Terengganu, Kiai Muhdamad Fadullah Suhaimi dari Singapura yang mashur dari segi perundangan Islam (Syariah) – bertemu di Pahang, Sheikh Osman Cincin dari Perak yang kononnya mashur dengan ilmu kebal, Abdullah Salleh yang mashur dengan gelaran Chek Lah Keramat yang meshur dengan ilmu perubatan tradisional bertemu di Terengganu dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment