Thursday, February 12, 2009

Perkembangan Silat Cekak Selanjutnya

Zaman pancaroba yang dialami selama 10 tahun, sejak Silat Cekak dilahirkan telah berakhir menjelang tahun 1976. Perayaan 10 tahun Cekak yang diadakan secara besar-besaran pada 28hb Disember 1975 adalah dianggap suatu titik perkembangan baru kepada PSSCM. Segala kegiatan yang cuba untuk mematahkan kegiatan Silat Cekak telah dapat dipatahkan dengan golongan-golongan tersebut telah menghadapi kehancuran. Kesanggupan Hanafi menghadapi berbagai rintangan yang telah dialami itu adalah berkat dari kesabaran dan kepercayaan bahawa usahanya itu adalah mendapat pertolongan dari Allah.

Silat Cekak telah mula diterima oleh semua golongan masyarakat Melayu. Dengan ini pusat kegiatan Silat Cekak juga telah mengalami perubahan. Sebelum ini pusat kegiatan terletak di no. 32 Jalan Haji Sirat, Kampung Baharu, Kuala Lumpur, sebuah rumah papan yang tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna, berfungsi hanya sebagai tempat latihan dengan bayaran sewa sebanyak $100 sebulan. Bagi menghadapi perkembangan yang lebih pesat, pada awal bulan Januari 1976, PSSCM telah mengubah pusat kegiatannya ke sebuah bangunan dengan sewaan sebanyak $680 sebulan di Jalan Putera, Off Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur yang dilengkapi dengan berbagai kemudahan yang diperlukan. Perubahan ini sedikit sebanyak membayangkan Silat Cekak telah mula diorganisasikan seperti mana yang dicita-citakan oleh Hanafi sejak menubuhkan silat ini 12 tahun dahulu.

Bagi memelihara persatuan supaya tidak meyeleweng dari tujuan asal Hanafi tetap mengekalkan polisinya tidak mahu membabitkan kegiatan Silat Cekak dengan politik. Ini jelas terbukti di dalam ucapannya sewaktu majlis penyampaian sijil sempena 10 tahun Cekak pada 28hb Disember 1975:

“Persatuan ini sanggup dan akan bekerja sama dengan mana-mana persatuan yang tidak berbau politik didalam usaha–usaha untuk mencapai dasar kerajaan yang ingin menjadikan kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan nasional. Sebaliknya saya dan PSSCM tidak rela serta menyeru kepada pendokong-pendokong Silat Cekak buat masa ini dan masa akan datang supaya jangan mencampuri atau membenarkan persatuan ini dicampuradukkan dengan politik.”

Dasar ini dilaksanakan kerana pergerakan persatuan ini berjalan adalah mempunyai tujuan dan matlamat tertentu iaitu untuk mengembang dan memperkenalkan pusaka asli yang benar-benar bermutu tinggi. Melalui pengalaman di bidang politik yang pernah ditempuhinya dahulu Hanafi percaya jika persatuan ini dibabitkan dengan soal-soal politik, matlamat dan tujuan tidak akan tercapai malahan akan menghadapi kehancuran.

Sehingga sekarang Persatuan ini masih lagi tidak mempunyai penaung atau penasihat seperti mana yang dikehendaki kerana seorang penasihat itu mestilah benar-benar mahir dan beramal dengan Silat Cekak dan mempunyai peribadi yang mulia. Hanafi tidak mahu melantik penasihatnya terdiri orang-orang yang berpengaruh di dalam politik tanpa mengetahui dan beramal denga silat yang didukungnya. PSSCM sejak dari awal kegiatannya begerak tanpa mendapat sebarang pertolongan dari mana-mana kecuali bantuan kewangan dari Kementerian Belia dan Sukan sebanyak $1000 dalam tahun 1976 dan tahun 1975 sebanyak $400.

Bagi menjaga mutu pentadbiran persatuan dapat dikekalkan persatuan melantik ahli jawatankuasanya dari mereka yang mempunyai kemahiran tentang Silat Cekak. Dasar ini dapat menentukan bahawa mereka itu akan berusaha demi menegakkan perjuangan persatuan tanpa mempunyai tujuan-tujuan yang lain. Dengan ini juga pentadbiran persatuan ini akan lebih berjiwa dan berjalan dengan selicin-licinnya supaya dapat mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Bagi menjaga mutu pelajaran Silat Cekak, Hanafi selaku guru utama tetap memastikan bahawa penuntut-penuntut yang mempelajari Silat Cekak dapat mempelajarinya dengan sempurna. Persatuan ini tidak akan membuka cawangan baik di mana sekali pun jika didapati kurang kemampuan pihak persatuan untuk mengendalikannya. Pernah berlaku diatas permintaan penduduk bandar Kuantan supaya Silat Cekak ini dikembangkan di sana, tetapi oleh kerana beberapa masalah yang bersangkutan dengan jurulatih dan perbelanjaan, permintaan mereka ditolak. Hanafi berpendapat sesuatu cawangan yang hendak dibuka biarlah berkekalan dan sempurna dikendalikan.

Melalui polisi dan pentadbiran yang terkawal PSSCM telah dapat diorganisasikan dengan sempurna, dan telah banyak mendapat kepercayaan dari masyarakat dan kerajaan. Semasa menyambut Hari Kemerdekaan pada tahun 1976 buat pertama kalinya anggota-anggota Silat Cekak ini dijemput untuk menyertai perbarisan raksasa bersama-sama dengan kumpulan lain. Jemputan yang sama juga telah diberikan kepada persatuan ini di dalam merayakan Hari Kebangsaan 1977. Pakaian seragam yang ditempah khas diperbuat dari kain songket telah mempersonakan para hadirin di rapat tersebut. Melalui pakaian tradisional inilah imej Silat Cekak juga dapat dinaikkan.

Persatuan juga pernah dipilih oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk mewakili Silat-silat Melayu lainnya untuk mengadakan pertunjukan silat di bawah anjuran Persatuan Tarian Singa Cina yang diadakan di Stadium Negara pada 29hb Februari 1977. Sekali lagi pada 31hb Disember 1977, Silat Cekak dipilh oleh Kementerian yang sama untuk mewakili silat Melayu di dalam pertunjukan pertahanan diri di bawah anjuran Akhbar Nanyang Siang Pau sempena hari kemerdekaan .Pilihan ini juga dibuat kerana memandangkan Silat Cekak ini dapat meyakinkan seni mempertahankan diri lain bahawa inilah satu-satunya silat Melayu yang beremutu tinggi. Dalam Kemucak Persidangan Negara-Negara ASEAN baru-baru ini Seni Silat Cekak juga telah diberi keutamaan untuk mengambil bahagian.

Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan juga telah mengundang Silat Cekak untuk menganggotai Majlis Silat Negara. Tujuan utama majlis ini dibentuk bertujuan untuk supaya semua silat-silat Melayu di bawah suatu majlis dan di bawah kawalan kemeterian berkenaan di samping untuk menyelaraskan kegiatan silat Melayu di tanah air. PSSCM memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha kerajaan untuk menaikkan silat Melayu dan sekurang-kurangnya silat Melayu telah mendapat perhatian dari pihak yang berkuasa. Perlaksanaan majlis ini belum lagi dijalankan kerana perlembagaannya masih lagi dalam kajian.

Badan-badan kerajaan lain dan swasta telah menaruh minat terhadap Silat Cekak ini. Pernah Persatuan ini diundang untuk mengadakan pertunjukan di Pernas-NEC, Malayan Oksijan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan dan lain—lain lagi. Ekoran dari ini sebuah cawangan Silat Cekak telah berjaya ditubuhkan di JKR Wilayah Persekutuan, manakala kakitangan dari jabatan lain yang berminat mempelajari silat ini telah datang secara bersendirian di ibu pejabat Silat Cekak.

Di dalam usaha untuk mengembangkan Silat Cekak ke seluruh tanahair, Jabatan Penerangan Persatuan ini telah mengatur rancangan dan menjalankan usaha untuk mengembangkan Silat Cekak di utara iaitu Pulau Pinang pada 22hb Januari 1977 dan berjaya mewujudkan sebuah cawangan, Ipoh pada 27hb Mac 1977, di samping itu majlis ceramah dan pertunjukan telah diadakan di seluruh tanahair. Jabatan Penerangan akan memperluaskan kegiatan persatuan ini dan memperkenalkan konsep Silat Cekak di Selatan Tanah Melayu pula.

Persatuan juga telah bercita-cita untuk mewujudkan bangunannya sendiri di Kuala Lumpur ini. Melalui daya usaha Hanafi sendiri, persatuan ini telah ditawarkan suatu lot tanah di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, untuk membina bangunannya sendiri. Ini merupakan satu perkembangan baru kepada kepada Silat Cekak yang mula-mula diasaskan oleh Hanafi di sebuah rumah di kampungnya di Kedah. Dijangkakan apabila siapnya bangunan itu kelak, Silat Cekaklah merupakan Silat Melayu yang pertama kali memiliki bangunannya sendiri dan segala kegiatan dan pergerakan dapat diuruskan dengan teratur dan rapi sesuai dengan kegiatan ilmu pertahanan diri luar negeri yang lain.

No comments:

Post a Comment