Monday, March 16, 2009

Pantang Larang Seni Silat Cekak

Kebanyakan seni silat Melayu, masing-masing mempunyai pantang larangnya sendiri. Silat Cekak juga tidak ketinggalan. Di bawah ini dicatitkan pantang larang yang terdapat di dalam silat ini:

1. Tidak boleh menderhaka kepada guru.

2. Tidak boleh menderhaka kepada ibu.

3. Tidak boleh menderhaka kepada bapa.

4. Tidak boleh mencaci silat-silat Melayu asli yang lain, walaupun rendah mutunya.

5. Tidak boleh bergaduh semasa ahli Silat Cekak.

Jelas di sini, pantang larang yang terdapat di dalam silat ini ialah untuk mendidik rohani supaya mengenang budi kepada guru yang membuka mata, hati dan fikiran untuk mengenal antara yang baik dan buruk (untuk rohani), dan mentaati kepada kedua ibu bapa yang telah banyak berjasa memelihara dan kerana mereka manusia dapat lahir di dunia.

Juga, untuk mewujudkan perpaduan di kalangan ahli-ahlinya dan masyarakat kerana penuntut-penuntut Silat Cekak dilarang bergaduh sesama sendiri, kerana di zaman dahulu yang khianat ialah rakan seperjuangan.

Umpamanya Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat, kawan seperjuangannya. Silat Cekak tidak mahu perkara ini berlaku di kalangan ahli-ahlinya. Apabila sudah menjadi ahli Silat Cekak, mereka sudah dianggap seperti adik-beradik. Sama-sama berusaha menaikkan nama Silat Cekak.

Pantang larang ini juga tidak menimbulkan rasa ketakutan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Malah dapat menginsafi belia-belia bahawa mengenang budi kepada guru dan ibubapa adalah wajib sekali. Tidak ada larangan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yag maksiat kerana dari fahaman Hanafi, ini hanya cabang-cabang dari kekuatan iman seseorang itu.

Bagi Hanafi yang pentingnya fahaman perdunya iaitu bila seseorang itu sudah melatih dirinya mentaati guru dan ibubapanya, maka peribadinya dan jiwanya akan baik dan bersih. Bila rohnya bersih maka senanglah ia menghadapi Tuhan yang Esa dan dengan sendirinya dapat menjauhkan dirinya dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat.

No comments:

Post a Comment