Monday, January 26, 2009

Kegemaran

Semenjak kecil Hanafi gemar melihat orang-orang kampungnya bersilat. Hanafi kadang-kadang tidak terus pulang kerumahnya, selepas habis masa sekolah, tetapi pergi melihat orang-orang belajar silat hingga kadang-kadang lewat petang baharu ia pulang kerumahnya. Bila meningkat dewasa, Hanafi gemar pula membuat kajian terhadap silat-silat yang ada di kampungnya atau dikampung-kampung berdekatan.

Hanafi juga gemar membaca. Ia suka membaca buku-buku cerita berkenaan pahlawan-pahlawan Melayu, umpamanya cerita Hang Tuah, cerita berbentuk peperangan, buku-buku mengenai kelebihan Wali-Wali Allah, buku-buku berkenaan agama Islam dan Perundangan Islam. Buku-buku mengenai perundangan Islam (Feqah) karya Kiai Muhammad Fadullah Suhaimi dari Singapurasangat diminati oleh Hanafi kerana buku-buku fahaman Kiai ini sederhana umpamanya, Kiai ini tidak memandang rendah fahaman-fahaman mazhab Islam seperti Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi. Ia tidak ta’asuf (fanatik) terhadap mazhab-mazhab itu.

Menurut pendapatnya orang-orang awam (kebanyakan) boleh mengikut mazhab-mazhab itu, dan sahlah ibadat mereka, walaupun mereka tidak tahu dari mana terdapatnya hukum-hukum Islam itu. Tetapi orang yang cukup pengetahuannya, dan tajam fikirannya, bolehlah mereka mengambil sendiri hukum-hukum dari Quran dan Hadis untuk beramal bagi dirinya, walaupun tidak mengikut mazhab itu sekalipun.

Maka fahaman seperti ini sangat memudahkan orang ramai dan memajukan orang-orang yang sanggup maju menyiasat hukum Islam. Karya-karya Ishak Hj. Muhamad dan Dr. Hamka diminatinya kerana kebanyakan buku-buku ini mempunyai sindiran yang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat. Hasil daripada bacaan yang luas ini menyebabkan fikirannya selalu berkembang kerana Hanafi dapat merasakan apa yang tersirat dalam buku itu.

Satu kegemarannya yang sangat aneh, ialah kegemarannya menziarahi makam-makam pahlawan dan ulamak-ulamak yang salleh lagi ‘keramat’.. Umpamanya Hanafi pernah menziarahi makam-makam Tuan Hussein di Titi Gajah, Tuan Sheikh Abdul Jalil, Mufti Negeri Kedah yang meninggal 200 tahun lalu, di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah, Tok Pulau Manis di Terengganu, Makam Tuan Syed Abdul Rahman di Kampung Paloh, Terengganu dan Makam Syed Salleh anak Al-marhum Hj. Abdul Ramah, Limbong di Terengganu.

No comments:

Post a Comment